Perkongsian saya mengenai bekas pemain Harimau Muda, Hazwan Rahman yang kini mewakili PDRM sebagai antara anggota Polis yang bertugas di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan PKPD di Pasar Borong Selayang mendapat sambutan di laman media sosial.

Lebih 400 ciapan di Twitter dan hampir 1000 tanda 'like' oleh netizen sekali gus membuktikan bahawa individu yang berada di barisan hadapan atau 'frontliners' dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan PKP ini amat dihargai oleh rakyat Malaysia susulan pandemik Covid-19.

Selain Hazwan, beberapa lagi pemain PDRM turut ditempatkan di kawasan zon merah itu dari 20 April lalu hingga 3 Mei ini. Hazwan yang mesra disapa 'Dekwan' ketika berkongsi cerita mengenai perkara itu akui tugasannya mencabar kerana kawasan berkenaan mempunyai ramai penduduk.

Namun, pemain kelahiran Perlis itu tidak menjadikan ia sebagai halangan sebaliknya teruja untuk bertugas di kawasan berkenaan setelah hanya bertugas di Pulapol sebelum ini. Secara peribadi, saya kagum dengan Hazwan dan pemain PDRM lain kerana bukan sahaja boleh bermain bola sepak tetapi juga menjaga keselamatan negara.

Menyentuh mengenai Hazwan, mungkin ramai sebenarnya tidak tahu bahawa pemain berusia 30 tahun itu merupakan bekas pemain Harimau Muda A seangkatan dengan pemain-pemain seperti Izzaq Faris Ramlan dan Syahid Zaidon di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee.

Meskipun mempunyai reputasi hebat sebagai produk remaja negara, Hazwan tetap melalui pasang surut dalam kariernya selepas itu tatkala beberapa rakannya yang lain gah mencipta nama di kancah bola sepak tempatan bersama pasukan yang diwakili masing-masing.

Namanya tidak melonjak naik sekali pun mewakili empat pasukan iaitu T-Team, Perlis, Kuala Lumpur dan PDRM. Berdasarkan situasi itu juga menyebabkan Hazwan nekad untuk menjadi seorang pegawai polis demi kelangsungan hidup dalam menjamin masa depan yang lebih cerah berbanding sekadar menjadi pemain bola sepak.

Hazwan mula menyertai Polis Diraja Malaysia PDRM sebagai inspektor pada 2018. Ditanya mengenai keselamatan negara atau bola sepak sebagai keutamaannya, dia akui bola sepak adalah minatnya yang mendalam tetapi tuntutan kerja adalah lebih penting dan menjadi perkara pertama buat dirinya ketika ini.

Sememangnya, pengorbanan Hazwan sebagai 'frontliners' besar nilainya. Ketika masyarakat tidur dengan nyenyak, mereka ini pula menghadapi risiko kehilangan nyawa bagi membendung habis-habisan penularan wabak Covid-19.

Tahniah, Tuan Hazwan!