Temasya Sukan Asia 2018 di Indonesia kali ini membawa erti tersendiri buat penulis walaupun kali ini tidak ditugaskan membuat liputan di Palembang atau Jakarta.

Ia adalah kerana temasya kali ini menyaksikan dua bekas pelajar sekolah penulis, SMK Bukit Bandaraya, Bangsar sedang mengerah kudrat mereka buat kontinjen negara.



Ketika ini, sekolah penulis itu adalah Sekolah Cluster Cemerlang bagi Sukan Hoki.

Namun, ketika penulis menuntut di sana dari 1991-1995, ia hanya sekolah biasa yang semakin meningkat dalam bidang akademik dan juga sukan.

Dua atlet yang penulis maksudkan yang pernah menuntut di SMK Bukit Bandaraya ialah ekuin negara, Qabil Ambak Mahamad Fathil dan juga pemain bola sepak skuad B23 Tahun, M. Kogileswaran.

Qabil adalah pelajar junior dua tahun berbanding penulis di sekolah tersebut, manakala Kogileswaran menuntut di sana dari 2011 hingga 2013 sebelum ke Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP).

Penulis pernah beberapa kali membuat liputan dua atlet tersebut dan penulis akui, bangga melihat mereka yang datang daripada sekolah sama dengan penulis, turut berjaya sebagai seorang atlet.

Penulis tidak pasti sama ada SMK Bukit Bandaraya ada membuat catatan terhadap bekas pelajar sekolah itu yang berjaya sebagai atlet.

Kerana faktor itu, penulis menulis artikel ini bagi membolehkan pelajar SMK Bukit Bandaraya pada hari ini dapat mengetahui dan berasa bangga dengan kejayaan Qabil dan Kogileswaran.

Sebagai bekas pelajar yang turut pernah mewakili sekolah tersebut dalam sukan bola sepak, penulis memang bangga dengan pencapaian Kogileswaran dalam bola sepak setakat ini.

Ia kerana, Kogileswaran adalah bekas pelajar pertama SMK Bukit Bandaraya untuk juga mewakili skuad senior kebangsaan apabila pengendali negara, Tan Cheng Hoe memanggilnya untuk aksi persahabatan berdepan Bhutan April lalu.

Ketika zaman penulis, SMK Bukit Bandaraya bukanlah antara sekolah terkuat dalam sukan bola sepak di Kuala Lumpur.

Namun, ia tidak menjadi penghalang buat sekolah tersebut menghasilkan pemain seperti Kogileswaran yang baru-baru ini turut membantu skuad B23 menewaskan Korea Selatan di Sukan Asia.

SMK Bukit Bandaraya pernah menghasilkan beberapa pemain Piala Presiden dan skuad utama Kuala Lumpur.

Namun, Kogileswaran setakat ini adalah pemain bola sepak terbaik yang pernah dihasilkan.

Kejayaan Qabil dan Kogileswaran juga membuktikan, bukan mereka yang daripada sekolah sukan sahaja yang mampu berjaya dalam sukan.

Penulis mendoakan Kogileswaran akan terus mara jauh bersama skuad B23 di Sukan Asia kali ini dan Qabil , turut berupaya menuai emas buat kontinjen negara.