Kevin Yeap merangkul pingat emas kelima negara dalam acara 10km renang terbuka lelaki di Kompleks Sukan Air, Presint 6, Putrajaya, hari ini.

Perenang berusia 28 tahun ini juga mencipta sejarah muncul atlet pertama negara yang mencatat emas dalam dua acara berbeza dalam sukan renang kerana Kevin pernah memenangi pingat emas acara 400 meter gaya bebas dalam Sukan SEA 2011, Indonesia.

Lebih mengejutkan, dia juga mengumumkan persaraannya daripada sukan renang setelah mencipta kejayaan istimewa itu yang juga menyaksikan Heidi Gan menjuarai kategori wanita.

Saya sempat bersembang dengan Kevin dan mendapatkan reaksinya tentang pingat emas dan persaraannya.

Sharon: Bagaimana anda membuat persediaan menghadapi perlumbaan terakhir karier sebagai perenang negara?
Kevin: Mencabar. Saya bekerja keras dalam latihan namun ada kalanya saya berasa tertekan sehingga tidak dapat tidur pada waktu malam.

Sharon: Kongsi kepada kami perasaan anda ketika mengetahui pingat emas milik anda?
Kevin: Saya bersorak sekuat yang boleh. Bercampur perasaan gembira dan lega dalam keletihan.

Sharon: Kenapa mengambil keputusan untuk bersara?
Kevin: Setelah 11 tahun melakukan yang terbaik untuk Malaysia dalam sukan yang saya cintai, sudah tiba masanya saya berundur dan memberi peluang kepada perenang muda.

Sharon: Apa seterusnya?
Kevin: Saya akan ke stadium untuk menyokong rakan sepasukan yang akan beraksi. Perancangan untuk karier selepas sukan pula, saya ingin menggunakan pengalaman untuk menjadi jurulatih dan membimbing perenang muda.

Sharon: Tahniah Kevin dan terima kasih bagi pihak seluruh rakyat Malaysia.
Kevin: Terima kasih Sharon.

Gambar: Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Kuala Lumpur (MASOC)