Pada 2018, kecemerkapan penjaga gol Liverpool, Loris Karius, menghadiahkan dua gol mudah buat Real Madrid yang akhirnya menyebabkan mereka kecundang dalam perjuangan meraih trofi Liga Juara-Juara (UCL) ketika itu.

Ramai peminat setia Liverpool turut pasti tidak dapat melupakan kejadian di mana pemain terbaik mereka, Mohamed Salah, mengalami kecederaan bahu akibat dikasari pemain pertahanan Madrid, Sergio Ramos, sehingga terpaksa dikeluarkan.

Namun, menurut pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, pembalasan dendam bukanlah sesuatu yang mereka sasarkan dalam perlawanan akhir di Stade de France, Paris awal pagi Ahad ini (3.0 pagi waktu Malaysia).

Dalam temu bual bersama laman sesawang Uefa.com, Klopp menegaskan bahawa pasukan mereka berjaya sampai ke peringkat akhir di atas usaha, mentaliti dan gaya permainan yang tersendiri, maka mereka akan tetap terus dengan segala kepercayaan yang dipegang teguh selama ini dalam meraih kemenangan.

Nyaris-nyaris merampas takhta juara Liga Perdana Inggeris daripada Manchester City minggu lalu, Liverpool pastinya lebih bersemangat dan berazam untuk mengakhiri musim sebagai juara Eropah sekali lagi – kali kedua dalam empat musim terakhir.

Jika dilihat daripada prestasi konsisten mereka sepanjang musim, ia sememangnya satu kejayaan yang layak dikecapi.

Skuad Liverpool musim ini ternyata cukup ampuh, dengan gabungan majoriti pemain yang telah beraksi bersama selama bermusim-musim yang sudah dikuatkan lagi dengan muka baru penuh potensi seperti Luis Diaz yang cukup lincah serta Thiago Alcantara yang mempamerkan ketajaman hantarannya dalam menerobos pertahanan lawan.

Dalam menentang pihak lawan bertaraf kelab gergasi, Klopp sendiri mengakui bahawa biarpun skuad Madrid kini berbeza dengan yang mereka hadapi pada 2018, tugas mereka tidak dipermudahkan.



Ketiadaan pemain bintang seperti Cristiano Ronaldo dan Sergio Ramos ternyata digantikan dengan baik oleh Karim Benzema dan Vinicius Junior manakala teras pasukan mereka, Toni Kroos dan Luka Modric, masih kekal mantap biarpun sudah berusia.

Menurut The Mirror, temu bual bersama Benzema dan juga pemain pertahanan kanan Madrid, Dani Carvajal, mendedahkan bahawa Madrid mengakui yang Liverpool bakal lebih banyak menguasai bola berbanding mereka gara-gara sistem 'gegenpressing' yang mereka amalkan, namun pasukan mereka bersedia untuk melakukan serangan balas yang tajam demi memperoleh kelebihan.

Liverpool bakal terus bergantung harap kepada Salah, penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris musim ini, bukan sahaja untuk membolos jaring tetapi juga untuk mencipta peluang bagi rakan sepasukan yang lain.

Dalam UCL musim ini, Salah mencatatkan purata 32 hantaran setiap perlawanan, dengan kadar kejayaan setinggi 82 peratus.

Di pihak Madrid pula, pastinya aspek kreativiti bakal disandarkan kepada Modric.

Biarpun sudah berusia 36 tahun, kelibatnya di atas padang tiada gantinya dan seharusnya hantaran ajaib yang dilakukannya sewaktu menentang Chelsea di peringkat suku akhir menjadi satu amaran agar kemampuannya tidak dipandang remeh.

Modric mencatatkan sebanyak 62 hantaran dalam UCL musim ini, dengan kadar kejayaan setinggi 92 peratus.

Turut harus diingatkan, dua trofi yang dimenangi Liverpool musim ini, Piala Liga dan Piala FA, telah ditentukan oleh pusingan sepakan penalti.

Jika ditakdirkan perlawanan akhir ini turut berlanjutan sehingga ke pusingan tersebut, pastinya kelebihan dimiliki Liverpool.

Pada akhirnya, kedua-dua pasukan kelihatan cukup seimbang dan sama kuat.

Mungkin hanya tuah yang akan menentukan siapakah bakal menjulang trofi keramat itu nanti.