Sejak Sir Alan George Thomas mengusulkan cadangan untuk membuat satu kejohanan badminton berpasukan lelaki pada 1949, Denmark bukanlah asing kerana pada edisi pertama penganjuran Piala Thomas, negara Scandinavian itu muncul naib juara, tewas kepada Malaysia dengan keputusan 8-1.

Namun sedikit menghairankan, Denmark, negara Eropah yang paling menonjol dalam sukan badminton terpaksa menanti sehingga 72 tahun (sepatutnya 71, namun terpaksa dianjak setahun gara-gara pandemik Covid19) untuk piala berprestij ini dianjurkan di sini.

Seperti mana Malaysia, dan mana-mana negara Asia yang menggilai badminton, rakyat Denmark sudah mula didedahkan dengan sukan raket ini sejak 1930-an, apabila dewan-dewan tertutup bukan sahaja digunakan untuk permainan seperti bola baling, bola keranjang atau bola tampar, malah ia juga menjadi platform untuk badminton terus berkembang dan menjadi salah satu tunjang kekuatan mereka di temasya sukan dunia.

Bercerita mengenai venue pertandingan, Aarhus, ia merupakan bandar kedua terbesar di Denmark dan terletak kira-kira 187 kilometer dari Copenhagen. Ironinya bandar ini amat popular dengan basikal, dan penduduk di sini menjadikan ia sebagai antara kenderaan utama untuk bergerak, ditambah cuaca di sini juga nyaman, sejuk dan sentiasa redup, matahari pula jarang kelihatan, jadi tidak hairanlah mereka selesa berbasikal kemana sahaja. Bayangkan situasi sama di tanah air, berbasikal dari Taman Medan menuju ke Subang Jaya, berjela peluh!

Denmark dengan reputasi sebagai 8 kali naib juara dan satu trofi kejuaraan ketika 2016 di Kunshan, China tidak boleh dipandang ringan meskipun perjalanan mereka di Piala Sudirman tempohari berakhir di peringkat suku akhir, tewas kepada China yang akhirnya mengumpul koleksi kejuaraan ke-12 mereka.

Tidak banyak perubahan dilakukan Denmark dengan kekuatan pasukan Piala Thomas mereka tertumpu kepada keampuhan acara perseorangan yang diketua pemenang pingat emas Olimpik 2020, Viktor Axelsen dan bakal dibantu Anders Antonsen, Rasmus Gemke dan pemain muda meningkat naik, Victor Svendsen serta kelibat pemain veteran Hans Kristian Vittinghus.

Malang juga buat pemain beregu lelaki, Lasse Molhede yang terpaksa lupakan penampilan pertamanya di kejohanan berpasukan ini kerana alami kecederaan kartilej. Namun kehadiran beberapa pemain ternama lain dalam pasukan bakal mengisi kekosongan ditinggalkan seperti kembali Kim Astrup selepas terlepas aksi di Vantaa, Finland minggu lalu.

Rumusannya, Denmark pertaruhkan skuad besar dan paling ampuh untuk mereka raih gelaran Piala Thomas bagi memberi isyarat, mereka bukan lagi pencabar, sebaliknya mahu takluk badminton dunia yang sekian lama dikuasai negara-negara Asia.