“Manchester City mampu membolot empat trofi musim ini setelah mengatasi ‘badi’ peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah,” tegas Owen Hargreaves.

Sejak menjawat tugas sebagai ketua jurulatih Manchester City pada tahun 2016, Pep Guardiola tidak pernah berjaya melepasi peringkat suku akhir kejuaraan yang paling didambakan oleh kesemua kelab bola speak itu.

Ia menyaksikan City tewas kepada Monaco, Liverpool, Tottenham dan Lyon pada tahun-tahun sebelum ini.

Dalam perlawanan yang berlangsung awal pagi kelmarin, City dikejutkan oleh pemain Borussia Dortmund, Jude Bellingham, yang mencatat sejarah sebagai pemain berbangsa Inggeris paling muda menjaringkan gol dalam saingan Liga Juara-Juara.




Namun, sepakan penalti Riyad Mahrez pada minit ke-55 dan rembatan kencang daripada pemain muda mereka sendiri, Phil Foden, pada minit ke-75 memastikan City layak ke peringkat separuh akhir untuk kemenangan 2-1 yang melengkapkan agregat 4-2.

“Sekarang ini, City mampu memperoleh kemenangan biarpun mereka tidak beraksi pada tahap terbaik.

“Dan saya pasti Pep yakin untuk memenangi kesemua empat trofi yang dipertaruhkan, tidak kiralah sama ada dia mengakuinya ataupun tidak,” ujar Hargreaves, bekas pemain Bayern Munich, Manchester United dan City.

City sekarang akan berhadapan dengan Paris Saint-Germain (PSG) yang dipimpin oleh Mauricio Pochettino demi merebut tempat ke perlawanan akhir.





Ilkay Gundogan, antara pemain terbaik City musim ini, yang dahulunya pernah beraksi bersama Dortmund, berasakan yang dia dan rakan-rakan sepasukannya agak ketakutan pada tempoh 15 minit pertama perlawanan dan ini terbukti apabila gawang mereka dibolosi dalam waktu tersebut.

Namun, apabila ditanyakan sama ada pemain City akan berasa tertekan dengan cabaran untuk meraih empat trofi, Gundogan dengan yakin menjawab, “Saya rasa pencapaian tersebut tidaklah sukar.

“Kami semua adalah pemain profesional yang ingin mengecapi kejayaan dan meraih kemenangan dalam setiap perlawanan.

“Kami tidak boleh menjamin apa-apa, tetapi kami akan memberikan usaha terbaik dalam setiap pertembungan, itulah yang bakal kami lakukan mulai dari hari Sabtu depan,”ujarnya.

Sabtu ini, City akan berhadapan dengan ujian getir di Wembley sewaktu menentang Chelsea, yang turut sama layak ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah selepas membenam Porto dengan agregat 2-1.

Selain itu, mereka akan turut bertembung dengan Tottenham Hotspur dalam perlawanan akhir Piala Carabao pada tanggal 25 April.

Harus tidak ramai yang sangsi The Citizens mampu menyempurnakan satu musim yang gemilang kecuali mereka yang memilih untuk mencemburui Guardiola dan barisan pemain daripada melakukannya.