Harapan untuk melihat Chelsea melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) oleh peminat-peminat The Blues musim ini tidak kesampaian apabila anak didik Thomas Thucel itu tewas kepada Real Madrid secara agregat 4-5 di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi.

Walaupun The Blues bangkit untuk mendahului tetapi jaringan Rodrygo -- pada 10 minit terakhir perlawanan -- dan Karim Benzema pada masa tambahan telah meranapkan impian The Blues. Ini membuatkan Chelsea tidak mampu mempertahankan kejuaraan yang dimilikinya musim lalu.

Apa yang menarik perhatian penulis sebenarnya apabila anak didik Thomas Tuchel itu telah menunjukkan satu permainan yang berkualiti tinggi dan hampir melenyapkan kelebihan yang dimiliki Los Blancos.

Gerakan pantas yang membawa kepada jaringan menjadi pemangkin semangat The Blues daripada Mason Mount dan selepas itu mereka terus bangkit dengan satu kekuatan luar biasa melalui semangat kerja berpasukan hingga berjaya mendahului dengan agregat 4-3 sebelum The Blancos menyamakan kedudukan. Ia boleh dilihat berdasarkan statistik perlawanan seperti 28 percubaan, tujuh percubaan tepat, 57 peratus kawal permainan, 746 hantaran dan 10 sepakan sudut.





Bukan itu sahaja, kita juga dipamerkan dengan ketajaman penyudah yang luar biasa daripada Benzema yang telah menunjukkan aksi yang konsisten sepanjang UCL kali ini. Lihat sahaja bagaimana jaringan kemenangan dilakukannya bukan sahaja tandukan mudah tetapi dia meletakkan dirinya di posisi yang tepat.

Inilah yang dikatakan “inteligence player” yang sentiasa memikirkan penyelesaian untuk membantu kejayaan pasukan. Ia membuatkan pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti, mengelarkannya sebagai penyerang terbaik dunia 2021.


Ia tidak boleh dinafikan lagi kerana jika dilihat daripada jumlah jaringan (216 gol) diciptanya sepanjang bersama The Blancos telah membuktikan statusnya.

Sementara itu, juga ia merupakan perlawanan yang akan diingati penulis sebagaimana perlawanan akhir musim 2005 di antara AC Milan dan Liverpool apabila The Reds bangkit daripada ketinggalan dan akhirnya menjuarainya.

Inilah satu ilmu yang dapat dipelajari bukan sahaja penulis malah semua pencinta bola sepak Malaysia apabila dapat melihat sendiri, bagaimana keyakinan diri serta kerja berpasukan itu mampu mencipta kejayaan.