Sebak melihat keadaan terkini Datuk Namat Abdullah dan Syed Ahmad Abu Bakar – dua bintang bola sepak negara era 1960-an dan 70-an.

Kedua-duanya yang pernah membanting tulang dengan pasukan Penjara, Pulau Pinang dan Malaysia, ditimpa dugaan penyakit kanser.

Syukur Alhamdulillah, ramai kawan-kawan jenguk tanya khabar.

Sekurang-kurangnya tidaklah mereka rasa terpinggir detik-detik sebegini.

Namat anggota skuad Olimpik Munich 1972 selain merangkul pingat gangsa di Sukan Asia di Tehran pada 1974.

Syed Ahmad, anak jati Johor, pula muncul penjaring terbanyak untuk pasukan negara pada kelayakan Olimpik di Seoul 1971.

Maksudnya, tanpa sentuhan dan kebijaksanaan Syed Ahmad mencium peluang di Seoul, tidak mungkin pesawat yang membawa kontinjen Malaysia ke Munich, dianggotai rombongan bola sepak.

Syed Ahmad juga menganggotai skuad negara ke Sukan Asia di Tehran.

Sayangnya, Syed Ahmad tidak mendapat pengiktirafan sebagaimana yang diterima sesetengah rakan seangkatannya.

Di saat Namat berserta Soh Chin Aun, M. Chandran, Wong Kam Fook serta rakan-rakan lain diberi penghormatan membawa nama negara di Munich, Syed Ahmad digugurkan gara-gara masalah kecederaan, atau di balik tabirnya, masalah kecederaan.

Kebetulan Namat, Chin Aun dan Chandran antara yang bertuah diberi darjah kebesaran.

Begitu juga dengan Robert Choe.

Dalam laman sosial rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), badan induk itu mengenang jasa Uncle Robert yang kini berusia 80 tahun.

Sebagaimana Syed, Uncle Robert yang menjadi anggota skuad yang memenangi emas Sukan SEAP 1961 dan gangsa di Sukan Asia di Jakarta 1962, tidak menerima apa-apa gelaran.

Selaku kapten skuad remaja negara yang menjadi naib juara Kejohanan Asia pada 1959 dan 1960, Uncle Robert kian ditelan zaman.

Generasi hari ini tidak mungkin mengenali Uncle Robert dan Tuan Syed.

Sempena Hari Wartawan Sukan Sedunia pada 2 Julai lalu, penulis ingin memetik kata-kata wartawan sukan tersohor, Datuk Hishamuddin Aun:

“Wartawan sukan membuat laporan untuk memasyhurkan atlet, bukan untuk memasyhurkan diri.”

Pemerintah juga, dalam hal sebegini, tidak cukup untuk menuturkan kata-kata biar jasa menjadi kenangan.

Tulis Dengan Hati
Hafizal Hamad
Bola Mamak Nindia