"Tidak ada jurulatih dalam dunia ni tidak mahu lihat pasukannya beraksi di Piala Dunia.".

Senyuman Jurulatih bawah 19 tahun negara Bojan Hodak beserta reaksi yang merujuk hasrat besarnya untuk lihat kejutan lebih baik dari anak buahnya di Kota Jakarta di saingan Piala AFC yang bakal berlangsung 18 Oktober ini.

Namun Hodak tiada jaminan khusus hanya mengharapkan keajaiban mampu terlaksana, sambil merujuk kepada persediaan tidak seberapa dari skuadnya.

"Kami tiada perancangan 4 tahun, kalau ada saya berani janji, kita mampu ke Poland tahun depan", Ujar Hodak sinis.

"Jadi dengan apa yang saya ada ketika ini, saya hanya mampu mengharapkan keajaiban anak buah saya, dalam masa yang sama perlu realistik dengan keadaan semasa".

Umum tahu keberkesanan pasukan ini di pentas Asia Tenggara apabila muncul juara Piala AFF bawah 19 tahun Julai lalu, namun perbandingan di antara AFF dan AFC jurangnya begitu ketara.

Sekiranya Malaysia mampu curi slot 4 terbaik di Piala AFC, kita mampu melangkah ke pentas Piala Dunia bawah 20 tahun yang akan berlangsung di Poland tahun depan.

Ketika ini skuad negara sedang menjalani persediaan akhir di Qatar untuk aksi persahabatan dengan skuad bawah 19 tahun mereka yang akan berlangsung di Stadium Al Ahli, pada Jumaat.