"Kelab Bola Sepak Everton dengan ini secara rasminya mengumumkan pengunduran Rafael Benitez daripada jawatan pengurus pasukan."

Kenyataan yang cukup ringkas berkenaan mengakhiri tempoh 200 hari bekas pengurus legenda Liverpool itu bersama The Toffees.

Di bawah kendalian Benitez, Everton mengharungi kekalahan sebanyak sembilan kali dalam 13 perlawanan dan kini sekadar menduduki tangga ke-16 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Mudah sekali untuk mana-mana pihak menuding jari terhadap Benitez dengan mengatakan dia adalah seorang pengurus yang gagal, bahawa dia tidak sesuai dengan Everton kerana pernah lama berkhidmat dengan seteru ketat mereka, Liverpool.

Hakikatnya, masalah utama yang melanda Everton adalah jauh lebih mendalam lagi.

Menurut laporan akhbar The Daily Mail, tumpuan seharusnya diberikan kepada pemegang saham utama Everton, seorang yang bernama Farhad Moshiri.

Sewaktu Everton memulakan misi untuk mencari pengganti Carlo Ancelotti, bekas pengurus mereka yang memilih untuk kembali menyertai Real Madrid, Moshiri dilaporkan bertegas untuk memilih Benitez sebagai calon utama biarpun menerima bantahan keras gara-gara sejarah Benitez bersama Liverpool sebelum ini.

Keputusan Moshiri ini seharusnya menimbulkan tanda tanya dan amaran sejak awal lagi -- satu petunjuk bahawa pemegang saham utama mereka sama sekali tidak peka dengan keadaan semasa.

Dalam kenyataan terakhir Benitez, dia dipetik sebagai berkata: "Sejak dari hari pertama lagi, saya dan semua kakitangan faham bahawa kami bukan sahaja harus mencatatkan keputusan memberangsangkan, kami juga harus memenangi hati penyokong.

"Malangnya, keadaan kewangan kelab dan kecederaan pemain-pemain penting cukup merumitkan keadaan.

"Jalan menuju kemenangan tidak pernah mudah tetapi bola sepak masa kini menuntut kejayaan serta-merta dan kesabaran yang diperlukan tidak hadir dalam jumlah yang tinggi."

Dalam tempoh lima tahun lalu, Everton telah dipimpin oleh beberapa nama besar -- Ronald Koeman, Sam Allardyce dan Marco Silva, antaranya, tetapi tidak ada seorang pun yang berjaya bertahan melebihi tempoh dua tahun.

Bukan sahaja pengurus, malah dua pengarah bola sepak, Marcel Brands dan Steve Walsh, turut sama gagal untuk melaksanakan misi mereka dalam meningkatkan kualiti Everton secara keseluruhan.

Apakah hasil yang diperolehi Everton dan Moshiri dalam melaburkan wang untuk pengurus, pengarah dan pemain-pemain baru selama ini? Kosong.

Jika Everton mempunyai strategi dan wawasan yang kukuh, mereka tidak seharusnya menandatangani James Rodriguez dan membayar gajinya setinggi £270,000 (RM1.5 juta) seminggu, hanya untuk berkesudahan dengan pemain itu tidak berada dalam keadaan cergas untuk kebanyakan perlawanan dan akhirnya meninggalkan kelab selepas setahun.

Jika Everton tahu menghargai pemain, mengapa Lucas Digne, pemain bek kiri yang begitu konsisten, dilaporkan meninggalkan kelab kerana kecewa dengan layanan yang diberikan terhadapnya?

Dalam perkembangan terbaru, calon-calon utama yang disasarkan sebagai pengganti Benitez adalah Wayne Rooney, bekas pemain kesayangan mereka, ataupun Roberto Martinez, pengurus pasukan kebangsaan Belgium yang pernah Everton singkirkan pada 2016.

Apakah rasional di sebalik pemilihan kedua-dua pengurus ini?

Ia sesuatu yang mungkin hanya difahami oleh Everton.