Selepas Robert Lewandowski dijual oleh Bayern Munich dan menuju ke Barcelona, pengurus kelab Jerman tersebut, Julian Nagelsmann dipetik sebagai berkata, "Barcelona adalah satu-satunya kelab yang tidak mempunyai wang tetapi mampu untuk membeli sesiapa sahaja yang mereka inginkan. Sungguh aneh."

Benar, sememangnya aneh.

Sungguh aneh bahawa biarpun berita tentang masalah kewangan Barcelona diketahui ramai, pemain-pemain berkelas dunia tetap menaruh minat tinggi untuk menyarung jersi mereka.



Lewandowski sanggup untuk menghapuskan hubungan baiknya bersama kelab yang memberikan kenangan manis selama lapan tahun, Raphinha sanggup untuk tidak berpindah dari Leeds demi mengekalkan peluang untuk menyertai Barcelona.

Biarpun mereka tahu masalah yang dihadapi oleh kelab itu teramat getir, kepercayaan bahawa segalanya dapat diatasi nampaknya melebihi kesemua aspek negatif.

Kini, dua hari sebelum musim baru La Liga bakal berlangsung secara rasmi, Barcelona berhadapan dengan masalah terbesar mereka -- tidak mendapat kebenaran untuk mendaftarkan pemain-pemain yang mereka beli sepanjang musim perpindahan ini.

Untuk lebih memahami tentang masalah ini, ia harus diketahui bahawa peraturan kewangan La Liga adalah yang paling ketat di antara kesemua liga terkemuka Eropah.

Menurut laporan laman sesawang espn.com, , demi mematuhi 'Financial Fair Play', setiap pasukan dalam liga tersebut diberikan had jumlah tertentu yang boleh dibelanjakan ke atas pemain dan barisan jurulatih, dan jumlah itu turut merangkumi gaji serta yuran perpindahan.

Sebagai contoh, dalam kes Lewandowski, Barcelona membayar sebanyak €50 juta (RM229 juta) untuk membelinya.

Jumlah keseluruhan untuk mendaftarkan beliau merangkumi gajinya ditambah dengan €12.5 juta (RM57.2 juta), iaitu €50 juta dibahagikan dengan tempoh kontraknya selama empat tahun, begitulah formula yang digunakan.

Jika jumlah wang pendaftaran melebihi had yang ditentukan, pemain baru tidak dibenarkan untuk didaftarkan -- situasi yang dihadapi oleh Barcelona sekarang.

Dalam situasi terkini, secara paling ringkasnya, Barcelona wajib untuk mendapatkan wang sebanyak €100 juta lagi demi membolehkan seramai lima pemain baru -- Robert Lewandowski, Raphinha, Andreas Christensen, Franck Kessie dan Jules Kounde -- turun ke padang secara rasmi, serta dua pemain lama yang mengikat kontrak baru, Ousmane Dembele dan Sergi Roberto.

Barcelona telah pun menjual hak penyiaran televisyen kelab serta 24.5 peratus saham dalam Barca Studios, studio penyiaran milik mereka sendiri demi memperoleh wang dengan kadar segera.

Menurut laporan akhbar The Daily Mail, saham Barca Studios dalam jumlah yang sama akan dijual sekali lagi demi membolehkan masalah terkini diatasi.

Pemain-pemain seperti Samuel Umtiti, Memphis Depay dan Martin Braithwaite sedang dicuba untuk dijual secepat mungkin, manakala Frenkie De Jong bakal dipaksa untuk menerima potongan gaji drastik jika dia berkeras untuk tidak berpindah ke Manchester United atau Chelsea.

Selain itu, pelbagai inisiatif lain turut diteroka, termasuk menyewakan Stadium Nou Camp untuk dijadikan sebagai dewan perkahwinan bagi yang mampu.

Barcelona sememangnya terdesak, tidak kira dari sudut mana pun ia dilihat.

Apa yang bakal berlaku kepada pemain-pemain yang baru dibeli jika mereka gagal untuk didaftarkan?

Merujuk kepada Christensen dan Kessie, salah satu klausa dalam kontrak yang mereka tandatangani membolehkan mereka untuk membatalkan perjanjian bersama Barcelona dan bebas untuk berangkat ke kelab lain secara percuma, jika itu yang mereka mahukan.

Pilihan lain hanyalah untuk dipinjamkan ke kelab-kelab lain buat sementara waktu, ataupun sekadar makan gaji buta sehinggalah isu kewangan ini diselesaikan.

Presiden Barcelona, Joan Laporta, dilaporkan tetap kekal optimis dan memberikan jaminan bahawa situasi ini bakal diselesaikan secara sebaik-baiknya.

Tetapi ada juga sumber dalaman kelab yang dipetik sebagai berkata, "Hari ini kami makan dengan kenyang, tetapi esok hari kami mungkin kebuluran."