Ketika Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, menerangkan peta hala tuju bola sepak Malaysia kepada Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam, ia bagi mendapatkan sokongan dari Kerajaan Malaysia untuk memastikan perjalanan bola sepak Malaysia kembali berjalan lancar dan meriah tatkala pendemik COVID-19 masih lagi menular di Malaysia.

Itulah cabaran yang terpaksa dilalui FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk memastikan Liga Malaysia terus berjalan seperti biasa sebagaimana yang telah dirancangkan lebih awal supaya semua yang terlibat di dalam industri bola sepak ini mendapat manfaatnya.

Namun, ketika MFL sibuk menyediakan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 sebelum Liga Malaysia bermula beberapa minggu lagi, ada desus desus yang mengatakan pasukan Perak II yang beraksi dalam saingan Liga Perdana akan menarik diri.

Sekiranya benar berlaku, ia sekali lagi menguji tahap profesionalisme dan ketegasan MFL dalam menagani masalah ini supaya ia tidak berlaku lagi pada masa hadapan.

Ini yang dibimbangi oleh pemerhati bola sepak negara kerana dengan sewenang-wenangnya sesebuah pasukan itu menarik diri daripada saingan liga, seterusnya menutup kelab.

Inilah cara paling mudah yang diambil oleh segelintir pengurusan kelab untuk lari daripada tanggungjawab disebabkan mereka gagal dalam menjana pendapatan dan menyelesaikan masalah dalaman kelab.

Dengan tindakan serta keputusan yang drastik diambil oleh segelintir sesebuah pengurusan kelab itu tadi telah memberikan satu imej yang kurang baik bagi industri bola sepak Malaysia umumnya.

Mereka tidak memikirkan implikasi yang akan dialami oleh pengurusan Liga Malaysia (MFL) dan kelab-kelab yang mengambil bahagian untuk mencari penaja pada kemudian hari.

Selain itu, ia juga akan menerbitkan rasa bimbang ibu bapa terhadap sukan bola sepak sebagai kerjaya anak-anak mereka pada satu hari kelak. Ini kerana keputusan itu sebenarnya mampu mempengaruhi minda ibu bapa untuk tidak membenarkan anak-anak mereka memilih bola sepak sebagai kerjaya atau sukan pilihan.


FAM Hargai Dukungan Perdana Menteri Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini menghulurkan sekalung penghargaan...

Posted by Football Association of Malaysia on Friday, February 19, 2021


Inilah kesan yang sepatutnya difikirkan oleh semua pengurusan kelab bola sepak di negara kita sebelum membuat sesuatu keputusan.

Tunjukanlah satu sifat bertanggungjawab dan berintegriti tinggi serta bekerja secara professional kerana bola sepak adalah merupakan satu sukan yang menyatukan semua.

Ia juga mengetengahkan ilmu yang dapat mendidik dan membantu seseorang itu menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Bantulah FAM dan MFL dalam membangunkan bola sepak negara dan buanglah sikap yang boleh membunuh generasi muda untuk memilih bola sepak sebagai kerjaya mereka.

SEMUA PIHAK PERLU BERSATU HATI Semua pemain dan pegawai setiap pasukan perlu bersama-sama berganding bahu dan bersatu...

Posted by Malaysian Football League on Tuesday, February 16, 2021