Kegagalan penjaga gol Malaysia, Mohd Haziq Nadzli, menumbuk kemas bola sepakan sudut sehingga masuk ke gawang sendiri membawa petanda awal harapan untuk mencipta kemenangan dan seterusnya mengutip pingat emas temasya Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur amat sukar.

Apatah lagi, kita semua maklum bahawa Thailand adalah merupakan sebuah pasukan yang baik dari segi teknikal dan taktikal serta disiplin bertahan yang baik.

Walaupun ia sukar, namun semangat juang pemain-pemain muda negara perlu diberikan pujian kerana mereka bermain demi lencana di dada.

Ini penulis berani katakan sebab penulis sendiri melihat dari minit pertama lagi, mereka sudah memberi saingan dan tekanan kepada lawan sehingga tiupan wisel terakhir.

Apa yang penulis ingin nyatakan walaupun kekecewaan itu memang ada dalam diri penulis, namun penulis berasa gembira dengan skuad ini kerana mereka mempunyai masa depan yang cerah dalam arena bola sepak negara memandangkan mereka ini semua di bawah usia 23 tahun.

Bagi Haziq pula, jangan jadikan kesilapan itu sebagai beban dan menjatuhkan semangat anda untuk terus berjaya kerana itulah asam garam dalam bola sepak.

Kepada pemain-pemain pula, jangan lena dengan lakaran yang mereka telah bina sepanjang Sukan SEA Ke-29 ini, sebaliknya perlu terus bekerja keras untuk memperbaiki diri, lihat kembali apa yang kurang ditambahkan dan kekalkan yang baik.

Sekiranya kita dapat melihat kekuatan dan kekurangan pada diri kita, pasti ia akan membantu untuk terus maju kerana ia akan membawa seseorang pemain itu lebih fokus dan fikir bagaimana untuk menjadi lebih baik dan kekal dalam prestasinya.

Kepada peminat-peminat pula, janganlah kegagalan skuad bawah 22 tahun ini untuk merangkul pingat emas terus untuk menidakkan keupayaan diri mereka, terutama kepada Haziq.

Apa yang penting, dalam perjuangan bola sepak ini tiada noktahnya dan sekiranya kita ingin melihat kemajuan dalam bola sepak kita, kita memerlukan kerjasama daripada semua pihak dan tidak perlu ada unsur-unsur kenegerian.

Bagi pengurusan pula, ambillah pengalaman ini untuk dijadikan batu loncatan dalam memulakan pelan perancangan dan perjalanan mempersiapkan pasukan pelapis, terutama peringkat umur 18 tahun ke bawah, terutama dalam merancang liga di peringkat akar umbi yang lebih kompetitif untuk kemajuan pemain-pemain dan bola sepak negara.

Sekali lagi penulis ingin mengucapkan tahniah kepada semua pengurusan, pasukan kejurulatihan dan pemain yang berjaya mengharumkan nama negara dalam Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur ini.