Dalam keterujaan menantikan apa nilai tambah yang mampu diberikan pemain import Johor Jewels, satu-satunya pasukan yang berani menyahut 100% cabaran dari peraturan baharu yang ditawarkan Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) untuk saingan Sooka NSL 2022, saya gembira dengan keputusan jurulatihnya, Fazira Mesnan yang tidak mengetepikan bakat pemain tempatan demi menjayakan misi mereka merampas gelaran juara dari KL Wildcats.

PBJM dengan kerjasama Astro telah merangka peraturan yang membenarkan setiap pasukan yang bertanding dalam musim kedua ini untuk mempunyai dua pemain import tempatan dan dua pemain import antarabangsa, jelas hanya Johor Jewels menggunakan kuota ini sebaik mungkin menerusi penyertaan bekas kapten Selangor Angels, An Najwa Azizan, dan bekas kapten KL Wildcats, Nur Syafazliana Mohd Ali, serta Sirima Samnaree dari Thailand dan Gayani Dissanayake dari Sri Lanka.

Menariknya, Johor Jewels tidak gopoh untuk menurunkan kesemua pemain import ini dalam barisan tujuh terbaik mereka, di samping pemain tonggak yang menjadikan bahagian tengah sebagai kekuatan mereka musim lalu iaitu Pow Mei Fong dan Nur Fariha Abdul Razak. Sebaliknya, kombinasi pemain berpengalaman dan muda menjadi percaturan utama yang dilihat berjaya mencabar di minggu pertama NSL menerusi tiga aksi tanpa tewas.

Antara pemain yang menyerlah adalah Nurul Athekah Ammaliah Anwar yang membuat penampilan sulung di NSL. Pemain yang dipersiap untuk saingan SUKMA Johor ini benar-benar menggunakan kepercayaan yang diberikan Fazira untuk mengisi posisi Goal Attack (GA) dengan membantu An Najwa yang seringkali diasak pemain pertahanan lawan.

Kebolehan Nur Syafazliana untuk mengekang penjaring lawan tidak boleh disangkal kerana gadis berusia 29 tahun ini masih antara pemain pertahanan terbaik negara. Namun perbezaan yang ditampilkan bersama Johor Jewels adalah khidmatnya lebih ditagih di posisi Wing Defend (WD) dan bukannya Goal Defend (GD) atau Goal Keeper (GK) seperti kebiasaan.

Gayani yang turut dalam persiapan ke Asian Netball Championship bersama Skuad Kebangsaan Sri Lanka di Singapura pada September, lebih banyak diberikan minit permainan menerusi posisi GK, manakala gandingan GD yang paling menyerlah, saya pilih Nurul Hafizah Abdul Razak.

Kelibat gadis tinggi lampai ini mula mencuri perhatian saya ketika dia membantu pasukan Johor muncul tempat ketiga pada Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan 2019. Jelas penuntut Kolej Profesional MARA Bandar Penawar ini tidak mahu menoleh ke belakang lagi dan menggunakan persaingan sengit dalam pasukan Johor Jewels musim ini sebagai motivasi terbaik untuk merebut tempat. Buktinya, Nurul Hafizah antara pemain yang banyak melakukan interception selain Nur Fariha.

Selain kualiti pemain Johor Jewels, saya juga mahu menyentuh mengenai sokongan luar biasa yang ditampilkan penyokong Johor Jewels. Ketika saya bertugas di Stadium Juara, Bukit Kiara hujung minggu lalu, kelihatan ramai sekali penyokong yang sudah menanti sejak petang, walaupun perlawanan membabitkan pasukan kesayangan mereka hanya akan berlangsung pada sebelah malam.

Kehadiran kumpulan Boys Of Straits, pasukan sorak yang sinonim dengan bola sepak Johor, Johor Darul Takzim (JDT) juga memberi sentuhan berbeza dalam penganjuran membabitkan sukan bola jaring di Malaysia yang terlihat sedikit formal sebelum ini. Dianggotai sekumpulan lelaki yang bertolak dari Johor dengan sebiji bas, saya respect dengan penghormatan yang diberikan mereka kepada sukan yang dimonopoli Wanita.

Saya yakin ini baru permulaan, banyak lagi yang menanti dalam saingan Sooka NSL 2022 kerana sudah pasti setiap pasukan memiliki keunikan yang tersendiri.

Kita jumpa lagi dalam sambungan Sooka NSL 2022 pada Jumaat ini, yang dibawakan secara langsung di Astro Arena saluran 801.