Tottenham terus kempunan lagi dalam usaha mendapatkan ketua jurulatih baru bagi menggantikan Jose Mourinho.

Sewaktu pengerusi Tottenham, Daniel Levy, memecat Jose Mourinho pada tanggal 19 April lalu, dia pastinya membayangkan seorang ketua jurulatih yang tinggi kalibernya serta terbukti pencapaiannya bagi memimpin Spurs menghadapi musim baru.

Malang sekali, selepas hampir dua bulan berusaha untuk memancing pelbagai jurulatih, antaranya Julian Nagelsmann, Brendan Rodgers, Erik Ten Hag, Mouricio Pochettino dan terbaru, Antonio Conte, kerusi ketua jurulatih Spurs masih lagi tidak diisi.

Conte yang pernah menjawat posisi ketua jurulatih Chelsea merupakan antara pilihan utama Spurs.

Jurulatih berbangsa Itali ini telah berjaya membawa kelab-kelab yang disertainya untuk menjadi juara liga sebanyak lima kali dalam tempoh tujuh tahun lepas, dia juga tidak asing dengan Liga Perdana Inggeris.

Namun, dalam satu temu bual bersama akhbar Itali, Gazzetta dello Sport, baru baru ini, Conte mendedahkan bahawa dia menolak tawaran Spurs kerana tidak yakin dengan kelab tersebut.





"Saya memang sukakan cabaran dan saya telah menyahut banyak cabaran yang berbeza-beza sepanjang kerjaya saya.

"Kebanyakan kelab yang saya sertai adalah kelab-kelab yang seringkali tidak menjadi pilihan untuk menjadi juara.

"Namun, jika ada sesuatu yang membuatkan saya kurang yakin dengan kelab tersebut, saya lebih suka untuk mengatakan 'terima kasih sahajalah' tidak kira berapa tinggi pun gaji yang mereka tawarkan.

"Jika saya seorang mata duitan, mungkin saya masih akan kekal bersama kelab-kelab lama saya.
"Namun, saya memilih untuk melihat kepada projek yang dibayangkan oleh kelab yang berminat dengan saya, itu keutamaannya.

"Jika mereka gagal meyakinkan saya, lebih baik saya terus duduk di rumah sahaja," ujar Conte.

Menyebut tentang jurulatih-jurulatih lain yang diburu oleh Spurs, kesemuanya gagal diperolehi atas faktor-faktor yang berbeza.

Sewaktu Mourinho dipecat, posisi ketua jurulatih Bayern Munich turut dibuka pada masa yang sama.

Atas sebab ini, Nagelsmann yang merupakan bekas ketua jurulatih RB Leipzig menolak Spurs dan menerima tawaran Bayern Munich yang sememangnya lebih gah namanya.

Bagi Rodgers dan Ten Hag, ketua jurulatih bagi kelab Leicester City dan Ajax, mereka masing-masing memilih untuk kekal setia bersama kelab yang mereka sayangi, apatah lagi apabila kelab-kelab mereka mencatatkan pencapaian memberangsangkan musim ini.

Mungkin atas faktor terdesak, Spurs turut disebut-sebut untuk bersatu semula dengan bekas jurulatih mereka, Pochettino, yang kini berkhidmat bersama Paris Saint-Germain (PSG).





Namun, ura-ura ini dipadamkan serta-merta apabila PSG yang menawarkan sambungan kontrak setahun kepada Pochettino dan menegaskan bahawa ketua jurulatih mereka tidak akan berpindah.

Sekarang, sasaran utama Spurs beralih kepada bekas ketua jurulatih Roma, Paulo Fonseca.

Ironinya, Fonseca dipecat oleh Roma dan digantikan oleh tidak lain tidak bukan, Mourinho sendiri.

Rekod pencapaian Fonseca sejujurnya boleh dibanggakan, dia pernah memimpin kelab kecil, Shakhtar Donetsk ke peringkat 16 terakhir dalam Liga Juara-Juara Eropah serta membawa Roma ke peringkat separuh akhir pertandingan tersebut musim lalu.

Namun, hakikatnya ketika ini adalah Spurs sedang berada dalam keadaan yang cukup getir.

Penyerang utama, Harry Kane, dikhabarkan sedang berusaha untuk mencari kelab baru dan Spurs tidak akan bermain dalam Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

Harapan utama mereka ketika ini adalah supaya Fonseca menerima tawaran yang diberi dan mampu mencetuskan keajaiban dalam menghidupkan semula impian Spurs.