"Percayakan proses" -- ia satu ungkapan keramat diucapkan oleh pengurus Arsenal, Mikel Arteta.

Proses dimaksudkan adalah perjalanan menghidupkan semula pasukan dalam kembali mengecapi kejayaan dan menjadi satu nama yang sekali lagi digeruni seperti sewaktu zaman kegemilangan skuad yang digelar 'The Invincibles'.

Ketika itu, kemantapan penyerang legenda, Thierry Henry, dan kepintaran pengurus, Arsene Wenger, menyaksikan Arsenal merekodkan satu musim tanpa sebarang kekalahan pada tahun 2004.

Arsenal hari ini bukanlah pasukan yang sama seperti dahulu, itu hakikat perit yang harus ditelan.

Musim sebelumnya menyaksikan mereka mengakhiri liga di tangga kelapan manakala musim ini pula bermula dengan cukup teruk sehingga mereka pernah terjerumus ke kelompok tiga tercorot.



Begitupun, Arteta tetap kekal diberikan kepercayaan oleh pihak lembaga kelab meski diberikan tekanan berat oleh penyokong agar pembaharuan dilakukan.

Hasil kepercayaan itu, Arsenal mencatatkan 21 kemenangan musim ini dan berjaya menewaskan beberapa kelab besar seperti Chelsea dengan penuh bergaya.

Sepanjang beberapa minggu lalu, misi mereka adalah untuk memburu tangga keempat agar dapat beraksi dalam Liga Juara-Juara musim depan dan mengetepikan pencabar terdekat, Manchester United dan Tottenham Hotspur.

Malang sekali, setelah tewas 3-0 kepada Tottenham minggu lalu, Arsenal tewas pula 2-0 kepada Newcastle United kelmarin dan misi mereka kini hanya mampu diserahkan kepada takdir.

Arsenal wajib menang ke atas Everton dalam perlawanan terakhir liga dan berdoa agar Tottenham pula ditewaskan Norwich -- hanya senario sebegini yang bakal menjanjikan tangga keempat liga buat The Gunners.

Aksi Arsenal sewaktu menentang Newcastle boleh dikatakan adalah yang terburuk sepanjang musim -- gagal untuk memberikan persembahan sepatutnya dan terkulai layu di tangan Newcastle yang terbukti semakin mantap musim ini.



Arteta menyalahkan pengadil yang berat sebelah sewaktu ditewaskan Tottenham, namun tiada alasan seharusnya diberikan kali ini.

"Kebiasaannya, saya akan sentiasa mempertahankan pemain-pemain saya, tetapi tidak malam ini. Newcastle 100 kali lebih baik daripada kami dalam setiap aspek, dari mula hingga akhir," ujarnya dalam temu bual pasca perlawanan.

Kesimpulan akhir masih belum pasti, namun jika Arsenal ditakdirkan terlepas peluang untuk beraksi dalam UCL sekali lagi, setidak-tidaknya mereka menunjukkan kebangkitan berbanding musim lalu dan pasukan mereka yang rata-ratanya dipenuhi pemain muda telah menyuntik semangat dan harapan baru.

Namun, aksi longlai seperti yang ditunjukkan kelmarin haruslah diatasi sebaik-baiknya dan keazaman serta keinginan untuk mencatatkan kejayaan perlu dipamerkan dengan lebih jelas lagi.

Wajar ditekankan di sini adalah kepercayaan dan kesabaran tinggi yang dikurniakan oleh pihak lembaga Arsenal kepada seluruh pasukan.

Liga Perdana Inggeris pada zaman ini tidak lagi serupa dengan dahulu, di mana kejayaan adalah sesuatu yang didambakan dalam waktu yang sesingkat mungkin.

Jika jika pengurus legenda Manchester United, Alex Ferguson, masih berkecimpung sekalipun, mungkin dia juga tidak akan diberikan waktu yang mencukupi dalam membentuk satu pasukan yang mampu untuk meraih trofi saban musim.

Arsenal tidak mengecapi kejayaan besar musim ini, namun haluan masa hadapan mereka seharusnya cerah jika 'proses' di bawah kendalian Arteta terus dipercayakan.