Apabila penulis berpeluang menjelajah Jerman untuk meninjau persiapan negara itu menjelang tugasan hos Piala Dunia 2006 yang serentak diadakan dengan penganjuran Piala Konfederasi pada Jun 2005, penulis mengambil kesempatan berhubung dan bertemu Lim Teong Kim.

“Panggil saya Kim. Lim bapa saya.”

Walaupun Teong Kim menjadi anggota kejurulatihan skuad remaja Bawah 16 tahun Bayern Munich, pertemuan kami diadakan di Cologne disebabkan dia ketika itu mengikuti kursus kejurulatihan sebagai master coach selama enam bulan di Akademi Hennes Weisweller di Universiti Cologne.

Lapan tahun kemudian, Teong Kim diuar-uarkan sebagai penyelamat bola sepak negara apabila dilantik oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, sebagai pengarah projek Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), kebetulan menggantikan abangnya, Kim Chon.

Berikutan beberapa isu dalaman, Teong Kim ditugaskan mengendalikan skuad Bawah 16 dan Bawah 15 tahun di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), manakala tiga jurulatih luar – Saad Ichalelene (Paris St Germain), Franck Plaine (Akademi Aspire) dan Abdifitaah Mohamed Hassan (FC Twente) dibawa sebagai pengganti bertujuan menyemai DNA baharu bola sepak negara. Tiada sebarang pengumuman diadakan bertujuan menjaga muka masing-masing.

Hari ini, PPBN atau singkatannya dalam Bahasa Inggeris NFDP berada dalam persimpangan. Dengan iklim ekonomi yang kurang memberangsangkan, apakah Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan mampu mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk menjana projek pembangunan membabitkan lebih 1,000 jurulatih sepenuh dan separuh masa serta lebih 25,000 pelatih?

Anggaran perbelanjaan untuk kakitangan teknikal meliputi jurulatih dan pasukannya untuk pasukan elit Bawah 17 tahun, 16 tahun, 15 tahun, 14 tahun dan 13 tahun di AMD sahaja menghampiri RM3 juta setahun.

Selain kakitangan teknikal, pengurusan dan sokongan di 46 Akademi Tunas iaitu murid sekolah rendah dan 62 Pusat Latihan Daerah untuk pelajar sekolah menengah berserta 14 Sekolah Sukan Negeri juga berada di bawah struktur pentadbiran PPBN, maka tidak hairanlah bajet tahunan untuk projek nasional ini bertambah dari RM15 juta pada 2014 kepada RM20 juta pada 2017.

Carta organisasi PPBN pula diterajui ketua pegawai eksekutif bersama pengarah kejurulatihan, pengarah pertandingan, serta empat penyelaras zon – Utara, Selatan, Tengah, Pantai Timur serta dua penyelaras daerah di Sabah dan dua di Sarawak serta 13 Ketua jurulatih remaja negeri (KJRN).

Dalam pelan rasionalisasi yang dibentangkan oleh PPBN untuk pertimbangan FAM, unit PPBN yang kini di bawah pengawasan MSN akan menyerahkan tugas kepada persatuan kebangsaan itu bertujuan menyelaraskan tanggungjawab pembangunan bola sepak di antara kerajaan dan semua pemegang-pemegang taruh utama.

PPBN mencadangkan agar MSN dan Kementerian Pelajaran memberi fokus kepada latihan, pertandingan dan pengenal pastian bakat untuk pelatih-pelatih Akademi Tunas yang berumur 7 hingga 12 tahun sahaja manakala KBS/MSN kekal menjalankan operasi Akademi Tunas, pemantauan dan pertandingan-pertandingan domestik pada peringkat 7-12 tahun.

KPM akan meneruskan inisiatif melalui pertandingan-pertandingan MSSM dan Liga KPM serta perbelanjaan makanan untuk 250 orang pelatih AMD yang bersekolah di Sekolah Sukan Malaysia Pahang sambil meneruskan program bola sepak di SSTMI, SSBJ dan SSM Sabah.

FAM pula diberi tanggungjawab penuh untuk menjalankan operasi Kompleks Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari di Gambang, Pahang serta memastikan program latihan skuad-skuad elit remaja AMD dan kebangsaan dari 13 ke 17 tahun.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan FAM pula dikehendaki memastikan bahawa semua ahli gabungan yang bertanding di dalam Liga Super dan Liga Perdana membentuk skuad elit remaja sepenuh masa untuk peringkat umur 13 hingga 17 tahun. Pemantauan boleh dijalankan bersama-sama dengan pegawai-pegawai NFDP di negeri-negeri


Bhg 2: Beza pembangunan Perancis, Jepun dan Thailand