Benar seperti yang diramal, kelibat Cristiano Ronaldo tidak akan dapat dilihat lagi bersama Manchester United.

Dalam pengumuman tergempar awal pagi tadi, Manchester United mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa khidmat Ronaldo bersama kelab itu telah ditamatkan secara serta-merta.

Ia merupakan sesuatu yang diramalkan bakal berlaku sejak temu bual penuh kontroversinya disiarkan, malah pastinya dinanti-nantikan, tetapi mungkin ramai yang terkejut betapa pantasnya perpisahan ini berlaku.

Hajat dan harapan penyokong United agar Ronaldo memimpin mereka semula ke zaman kegemilangan telah lama terkubur sejak musim lalu lagi danapa yang tinggal kini hanyalah satu memori yang bercampur-baur pahit manisnya.

Ronaldo kembali ke pangkuan United atas pengaruh dan campur tangan Sir Alex Ferguson, namun pemergiannya pula berlandaskan prinsip utama pengurus legenda itu: "Apabila seorang pemain berasakan dirinya lebih penting daripada kelab secara keseluruhan, sudah tiba masanya untuk dia pergi."

Apabila diimbas kembali segala tindak-tanduk kurang ajarnya -- memecahkan telefon bimbit seorang kanak-kanak selepas perlawanan, enggan turun ke padang sebagai pemain gentian dan meninggalkan perlawanan sesuka hatinya, satu persoalan terlintas di fikiran, adakah segalanya dilakukan semata-mata demi memaksa jalan keluar?

Nyata ramai yang bersetuju dengan persoalan ini, di mana temu bualnya bersama Piers Morgan merupakan langkah terakhir yang dilancarkan pada waktu paling tepat demi memastikan United tiada pilihan selain menyingkirkannya, sama ada rela ataupun tidak.

Satu pendedahan yang diselitkan dalam artikel akhbar The Guardian merungkai perkara yang agak menggelikan hati -- dalam buku oleh dua wartawan Wall Street Journal bertajuk “Messi vs Ronaldo”, ia didakwa bahawa sewaktu Ronaldo masih bersama Real Madrid, dia berkunjung seketika ke kampung halamannya demi mencari seorang ahli fisioterapi yang pernah melatihnya sewaktu usia remaja di Sporting Lisbon.

Tujuan Ronaldo mencari ahli fisioterapi itu adalah demi menghulurkan cetakan anugerah-anugerah yang telah dimenanginya, bukannya atas dasar berterima kasih kerana telah melatihnya sehingga berjaya, tetapi untuk bermegah dan membuktikan dirinya hebat.

Satu lagi cerita dikongsikan oleh bekas pemain pertahanan United, Rio Ferdinand.

Sewaktu kedua-duanya masih bersama United, Ronaldo dan Ferdinand mengadakan perlawanan ping pong sesama sendiri, di mana Ferdinand menang dengan mudah kerana Ronaldo tidak berpengalaman dalam sukan itu.

Atas dasar tidak puas hati, Ronaldo membeli satu meja pingpong untuk diletakkan di rumahnya, berlatih selama dua minggu dan kemudian mencabar Ferdinand untuk berlawan semula, di mana akhirnya Ronaldo menang.

Berdasarkan dua kisah ini, serta banyak lagi yang tidak dikongsikan, ia menguatkan satu hakikat yang tidak perlu disangkal lagi -- Ronaldo tidak boleh menerima kekalahan daripada segi apa pun.

Ada yang menggelarkannya semangat waja, ada juga yang menganggap ia sebagai sikap ego yang tidak terkawal.

Tidak kira bagaimana pun ia dipanggil, sikap sebeginilah yang mendorong kepada kejayaan Ronaldo, juga punca kejatuhannya ketika ini.

Ronaldo tidak boleh menghadam hakikat bahawa dirinya sudah tidak lagi berada dalam keadaan fizikal seperti 10 tahun lalu, tidak boleh menerima bahawa dia tidak lagi sesuai untuk bermain 90 minit dalam setiap perlawanan sepanjang musim, serta pastinya menganggap dia bukanlah pemain yang dipanggil untuk turun ke padang sebagai pemain gantian pada minit-minit akhir perlawanan.

Bekas pengurus, Ralf Rangnick, digelarkannya sebagai seseorang yang tidak berkemampuan, pengurus sekarang ini, Erik Ten Hag, pula dikatakannya kurang ajar, semuanya kerana mereka tidak tunduk hormat kepadanya.

Di antara kesemua kritikan pedas yang dilemparkan Ronaldo ke arah United, ada yang terbukti benar, ada yang karut.

Antara yang benar adalah hakikat United tidak banyak berkembang maju sejak Ferguson bersara serta terlalu banyak mengambil tindakan yang tidak bertepatan dengan kesesuaian.

Namun, Ronaldo tidak sedar bahawa tindakan paling tidak tepat yang diambil United adalah dengan menerimanya kembali ke pangkuan kelab.

Seharusnya memori indah dibiarkan kekal sebegitu, detik-detik di mana dia turun ke padang buat pertama kali sewaktu menentang Bolton Wanderers pada tahun 2003 dan mengagumkan seluruh dunia, detik dia menjaringkan gol jarak jauh penuh keajaiban sewaktu menentang Porto pada tahun 2008 serta menanduk masuk gol pembukaan sewaktu menentang Chelsea dalam final Liga Juara-Juara UEFA (UCL) pada tahun yang sama, dan banyak lagi.

Apa yang tinggal kini hanyalah ungkapan cukup pedas: "Terima kasih atas segala-galanya Ronaldo, tetapi kamu tidak lagi dialu-alukan."