Rentetan empat kekalahan di laman sendiri dan terkeluarnya Liverpool daripada kelompat empat terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL), jelas merisaukan peminat setia The Reds di seluruh dunia ketika ini.

Dalam penulisan kali ini, penulis ingin menggariskan beberapa faktor yang tampak menjadi punca kemerosotan Liverpool setakat ini.

1. Kecederaan Pemain Bek Tengah Utama

Memang tidak dinafikan kecederaaan Virgil Van Dijk, Joe Gomez dan Joel Matip memberi kesan mendalam kepada perancangan taktikal Jurgen Klopp.

Ia bukan hanya melemahkan benteng, tetapi sebenarnya turut menyukarkan Liverpool dalam melakukan “High Line Pressing” yang menjadi amalan taktikal mereka sejak beberap musim kebelakangan ini.

Ketiadaan pemain bek tengah utama menyaksikan Klopp kerap menggunakan gandingan pemain tengah utama seperti kapten pasukan, Jordan Henderson dan Fabinho diturunkan sebagai bek tengah.

Ada perlawanan mereka beraksi dengan baik, tetapi sukar buat Henderson dan Fabinho konsisten dalam setiap perlawanan apabila tidak beraksi di posisi asal mereka.

Sudah pasti jugq apabila melakukan High Line Pressing atau perangkap off side, ia tidak sesempurna Van Dijk, Gomez dan Matip.

Tanpa kelibat Van Dijk, Gomez dan Matip, pemain bek sayap kanan Trent Alexandre Arnold dan Andrew Robertson juga kerap menjadi lubuk serangan balas lawan apabila kehilangan bola.

2. Bahagian Tengah Terkesan

Apabila dua pemain tengah terbaik pasukan Henderson dan Fabinho kerap menggalas tugas di benteng, sudah pasti ia menjejaskan bahagian tengah.

Sebelum ini, apabila Henderson dan Fabinho beraksi di bahagian tengah mereka kerap juga menjadi pelindung buat bek sayap, Arnold dan Robertson dalam menangani ancaman serang balas lawan.

Malah ia menjadi bukti mengapa bahagian benteng Liverpool kekal ampuh meskipun Arnold dan Robertson kadang-kala beraksi seakan pemain sayap.

Ketiadaan Henderson dan Fabinho di tengah juga memberi kesan terhadap permainan Thiago Alcantara.

Bekas pemain Bayern Munich itu kerap terpaksa memainkan peranan selaku pemain tengah bertahan atau Number 6 yang jelas membuatkannya sukar menjelmakan aksi terbaik.

Thiago lebih serasi selaku pemain tengah menyerang atau “box to box midfielder”.

3. Lewat Membawa Masuk Pemain Baru

Liverpool hanya bertindak mendaptkan pemain pertahanan baru- Ozan Kabak dan Ben Davies pada saat akhir pintu perpindahan Januari.

Perlu diingat, walaupun Kabak antara prospek pertahanan terbaik Turki dia datang dari Schalke 04 yang musim ini hambar dalam saingan Bundesliga.

Davies pula dari saingan Liga Kejuaraan bersama Preston North-End yang pasti tahap persaingan berbeza dengan EPL.

Tidak salah mendapatkan kudrat dua pemain itu, tetapi penulis percaya jika mereka dibawa masuk lebih awal ia akan memudahkan mereka untuk adaptasi lebih awal.

4. Corak Permainan Mudah Diramal

Tanpa kelibat Van Dijk serta Henderson dan Fabinho, ia jelas memudahkan lawan membaca corak taktikal dan permainan Liverpool ketika ini.

Klopp pula tampak masih mengekalkan formasi 4-3-3 yang mungkin tidak lagi sesuai dengan ketiadaan tonggak utama di benteng serta penyerang baru, Diogo Jota yang turut tercedera.

Mungkin Klopp perlu menimbang kemungkinan menggunakan formasi lain seperti 4-2-3-1 dan tidak terlalu fokus melakukan High Line Pressing berdasarkan situasi terkini pasukan.

5. Keputusan VAR Kerap Tidak Memihak Liverpool

Penulis tidak mengatakan ini adalah faktor utama kemerosotan Liverpool kini, tetapi kita tidak boleh menafikan ia sebagai salah satu faktor juga.

Sesetengah keputusan seakan tidak masuk akal dan antaranya ketika Van Dijk dicederakan penjaga gol Everton, Jordon Pickford dalam aksi awal musim.

Meskipun Van Dijk off side ketika itu dan pengadil sudah membunyikan wisel, Pickford sepatutnya diberi layangan kad merah.

Terdapat juga beberap jaringan di saar getir dibatalkan VAR.

6. Ubah Posisi Firminho

Penulis berasa dengan Jota kini dilaporkan menghampiri tahap kecergasan untuk bermain semula, posisi Roberto Firminho selaku penggempur utama perlu dikaji semula.

Mungkin Klopp wajar menimbang kemungkinan meletakkan Firminho di posisi asalnya iaitu pemain tengah menyerang.

Moral dan keyakinan Firminho jelas tampak terjejas ketika ini jika dilihat daripada rekod jaringannya musim ini.

Justeru, mungkin menurunkannya di posisi lain ketika ini mampu mengurangkan sedikit tekanan buatnya.

Demikan enam faktor yang penulis gariskan sebagai faktor kemerosotan Liverpool.

Penulis bukanlah seorang jurulatih bertauliah tetapi, pandangan penulis adalah sebagai seorang pemerhati bola sepak.

Apa pun, Klopp selaku pengurus lebih mengenali pasukannya dan penulis berharap dia dan tenaga kejurulatihannya
mampu segera memberi nafas baru buat Liverpool.

Ia ibarat satu malapetaka buat peminat Liverpool jika gagal menamatkan saingan di empat teratas EPL untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.