Sewaktu Georginio Wijnaldum membuat keputusan untuk tidak menandatangani kontrak lanjutan dan memilih jalan keluar secara percuma daripada Liverpool ketika musim panas lalu, segenap peminat bola sepak tidak kira peminat atau pembenci tegar The Reds mula memikirkan siap bakal menggantikan tempat tonggak skuad kebangsaan Belanda itu.

Thiago Alcantara mempunyai corak permainan yang berbeza, James Milner sering bertindak selaku pemain yang bersedia ditugaskan di mana-mana posisi sambil Naby Keita – yang meledakkan gol hasil rembatan padu ketika berdepan Crystal Palace, minggu lalu -- masih belum dapat memenuhi harapan penuh dengan harga GBP48 juta (RM272 juta) yang dibayar kepada RB Leipzig, tiga tahun lalu.

Namun, ketika sebilangan kecil penyokong di Anfield mungkin masih tidak lagi berpuas hati dengan skuad yang dimiliki, masih ada nama dalam pasukan bimbingan Jurgen Klopp itu yang mampu mencetuskan keterujaan hebat, selain daripada kelibat Mohamed Salah, Sadio Mane serta Virgil van Dijk, iaitu Curtis Jones.

Aksi kedua peringkat Kumpulan B saingan Liga Juara-Juara Eropah pada awal pagi tadi adalah bukti paling ampuh.


Pemain yang dibesarkan di pekan Toxteth, selatan Liverpool itu mencuri tumpuan dalam saingan di Estadio Do Dragao susulan persembahan memukau, memainkan peranan utama dalam menghasilkan empat daripada lima gol dicipta anak buah Klopp.

Bermula dengan rembatan awal yang gagal ditepis kemas Diogo Costa sehingga membuka ruang buat Salah membuka tirai jaringan, persembahan cemerlang Jones diteruskan dalam babak kedua apabila sekali lagi mencipta bantuan jaringan buat bintang Mesir itu. Dua lagi gol yang dihasilkan oleh Roberto Firmino turut bermula daripada pemain berusia 20 tahun itu, walaupun jaringan kelima Liverpool terpaksa menunggu isyarat Video Bantuan Pengadil (VAR) untuk disahkan.

Persembahan memukau di Porto itu pasti bakal memberi kesan terhadap kedudukan Jones dalam kesebelasan utama The Reds musim ini, seperti yang dinyatakan oleh bekas penyerang Liverpool dan Manchester United, Michael Owen. Ditanya sama ada Jones mampu mencabar Keita dan Thiago, dia memberitahu Mail Online: “100 peratus. Sebelum ini, beberapa isu kecederaan mungkin menghalang prosesnya bersama skuad tetapi apabila anda meraih peluang, anda perlu lakukannya seperti hari ni.

“Jones tidak menghasilkan jaringan pada hari ini tetapi tetap memainkan peranan terhadap empat atau kesemua gol buat Liverpool. Ia jelas satu persembahan yang hebat.

“Kebelakangan ini, Steve McManaman (legenda Liverpool) banyak menyebut nama Jones, bercakap mengenai kemampuannya untuk beraksi lebih kerap di bahagian depan dan saya fikir, ia terbukti hari ini.”

Dalam satu temubual bersama Stadium Astro pada tahun lalu, Jones memberitahu bahawa McManaman, Philippe Coutinho dan Steven Gerrard merupakan antara idolanya di Anfield sejak kecil. Realitinya, dia kini benar-benar berada di landasan terbaik untuk mengikut jejak langkah tiga bekas bintang The Reds itu.