"Persembahan kami memalukan, mengecewakan, malah boleh dikatakan satu penghinaan," ujar pengurus Manchester United, Ralf Rangnick dalam sesi temu bual pasca perlawanan bersama BBC Match of the Day selepas pasukannya dibelasah 4-0 oleh Liverpool awal pagi tadi.

Ini bukanlah satu perkara baru buat United musim ini, malah sudah diramalkan sejak dari awal lagi.

Sebelum perlawanan itu, persoalan yang berlegar di minda banyak pihak bukanlah siapa yang akan menang tetapi berapa teruk United akan dibelasah?

Menurut akhbar The Guardian, sepanjang 90 minit, Liverpool mencatatkan penguasaan bola setinggi 70 peratus dan melakukan 14 percubaan ke arah pintu gawang United.

Sebaliknya, United pula cuma mampu melakukan dua percubaan, dengan hanya satu daripadanya merupakan percubaan tepat.

Apabila Rangnick ditanya tentang punca utama persembahan United menjadi seteruk begini, jawapan beliau adalah jurang kualiti di antara kedua-dua pasukan ketika ini.



"Liverpool adalah antara pasukan terbaik dunia ketika ini dan kami pula jauh sekali berbeza. Kami tidak cukup ligat, juga tidak cukup kental."

Rangnick mendedahkan bahawa dia menyasarkan strategi permainan bercorak serangan balas demi memberikan peluang kemenangan tetapi pasukannya gagal melaksanakan apa yang diarahkan.

Mungkin atas dasar kekecewaan yang teramat, buat pertama kalinya, Rangnick mendedahkan bakal berlakunya rombakan besar-besaran dalam skuad United musim depan dan sehingga seramai 10 pemain baru bakal tiba.

Pendedahan ini sewajarnya dipersetujui oleh rata-rata penyokong United yang meluahkan perasaan di media sosial, dengan kebanyakan mereka mengatakan bahawa pemain-pemain United hanya akan meranapkan kerjaya Erik ten Hag, pengurus baru yang diramalkan dilantik tidak lama lagi dan beliau seharusnya memilih untuk kekal bersama Ajax sahaja, kerana United tidak layak untuk menerima khidmatnya.



Sepanjang musim ini, tiga pemain legenda United yang kini masing-masing mempunyai kerjaya sebagai pengulas sukan, Roy Keane, Paul Scholes dan Gary Neville, tidak melepaskan peluang untuk turut meluahkan rasa kesal mereka terhadap situasi terkini United.

Keane mengakui berasa cukup marah setiap kali menonton aksi United pada awal musim tetapi kini kemarahan itu hanya digantikan dengan rasa sedih semata-mata.

Ungkapan paling tepat yang diucapkan Keane adalah "United yang dulu bukanlah yang sekarang."

Scholes tanpa segan-silu menghuraikan persembahan United sebagai sesuatu yang menjijikkan manakala Neville merumuskan segalanya dengan satu ayat ringkas, "Ini adalah keadaan paling teruk di antara yang paling teruk buat United."

Satu keputusan yang tidak mengejutkan, satu kesimpulan yang nyata -- Liverpool gah di persada, United hina diketawa.

Minggu-minggu yang sudah membicarakan tentang pencapaian, sikap dan gaya pengurusan Erik ten Hag dan bagaimana segala ciri-ciri beliau berkemungkinan dapat membantu memulihkan United.

Minggu yang bakal mendatang pula pastinya dipenuhi dengan persoalan sama ada mampukah United dipulihkan?

Pertarungan akan datang menentang Arsenal bagi merebut kedudukan tangga keempat liga mungkin memberikan pencerahan lebih lanjut.