Manchester United mengesahkan slot ke pusingan 32 selepas mencatat tiga kemenangan dan satu seri dalam empat aksi terdahulu bagi saingan Liga Europa.

Situasi itu pantas digunakan pengendali The Red Devils, Ole Gunnar Solskjaer, bagi memastikan pendedahan diraih pemain skuad belia apabila menyenaraikan 14 pemain muda bagi memperkuatkan pasukan yang akan berkunjung ke Astana, awal pagi esok.



Dalam senarai itu, 10 pemain masih belum pernah tampil bersama skuad utama United sambil hanya Lee Grant, Axel Tuanzebe, Luke Shaw dan Jesse Lingard yang menjadi wakil daripada barisan senior.

Berdasarkan laporan Skysports, Solskjaer mengambil langkah berani untuk tidak membawa pembantunya, Michael Carrick dan Kieran McKenna, dalam kunjungan ke Kazakhstan, sebaliknya ketua pembangunan pasukan utama, Nicky Butt, bakal mengawasi aksi pemain muda di Stadium Astana itu.

Pengurus dari Norway itu juga mengesahkan tiga pemain muda, Ethan Laird, Di'Shon Bernard dan Dylan Levitt, akan berada dalam kesebelasan utama sambil penjaga gol berusia 36 tahun, Grant, diberi kepercayaan sulung untuk menjaga gawang United sejak minit pertama perlawanan, memetik laporan Manchester Evening News.

"Perlawanan ini memberi kesan besar kepada saya. Ia satu detik yang sangat membanggakan saya, begitu juga mereka yang bakal meraih penampilan pertama," ujar Grant yang sekadar memanaskan bangku simpanan dalam aksi Piala EFL sebelum ini.



Selain tiga nama baru itu, pemain lain yang turut berpeluang menikmati pengalaman sulung di pentas senior adalah penjaga gol dari Republik Czech, Matej Kovar, Teden Mengi, D'Mani Mellor, Ethan Galbraith, Arnau Puigmal, Largie Ramazani, serta pemain yang sebelum ini menjalani rawatan kemoterapi selama 12 bulan ekoran kanser testis, Max Taylor, dan kesemuanya belum melepasi usia 20 tahun.

Empat lagi nama yang lahir dari akademi dan turut menyertai kunjungan ke Astana adalah dua pemain tengah, Angel Gomes dan James Garner, serta penyerang, Mason Greenwood, serta tonggak skuad B-21 Belanda, Tahith Chong.



Justeru, langkah yang dilakukan Solskjaer itu menawarkan tempoh rehat yang cukup buat nama-nama besar dalam pasukan seperti Marcus Rashford, Anthony Martial, David de Gea dan Harry Maguire sebelum berdepan Aston Villa, Isnin depan dalam usaha untuk memperbaiki kedudukan Liga Perdana Inggeris setelah terlepas peluang mencipta kemenangan susulan keputusan 3-3 ketika berdepan Sheffield United, Ahad lalu.