Zlatan Ibrahimovic bersedia menghadiahkan Milan kemenangan awal musim ini apabila mengumumkan semakin hampir untuk diturunkan.

Penyerang sensasi itu baru beberapa minggu kembali berlatih selepas dilanda kecederaan lutut yang menyaksikannya terlepas kempen Euro 2020 bersama Sweden.

Pengurus, Stefano Pioli, sedar berita kecergasan Ibrahimovic mampu membawa perubahan kepada pasukannya seperti yang dibuktikan ketika anak buahnya itu menjaringkan 15 gol dalam 15 perlawanan awal Serie A musim lalu.

Dia mencetak satu gol dalam setiap 79.47 minit dan walaupun jumlah berkenaanberkurangan selepas itu, pemain veteran tersebut masih menjadi tunjang untuk Rossoneri.

Ditanya mengenai keadaan Ibrahimovic, Pioli menjelaskan dalam sidang akhbar: "Secara fizikal, dia pasti kelihatan lebih baik walaupun dia belum memulakan latihan penuh dengan pasukan dan dia agak memaksa dirinya.
"Minggu depan akan menjadi detik yang sangat penting buatnya memandangkan dia perlu mula bekerja dengan bola dan itulah aspek yang dia hilang.

"Oleh itu, minggu depan kami akan melihat sama ada dia sudah boleh berlatih dalam kumpulan dan ketika rehat antarabangsa, dia mungkin akan cergas dan bersedia.

"Saya rasa peranannya tetap sama: Zlatan adalah pemimpin yang berkarisma daripada segi wataknya. Dia juga pemimpin di atas padang, dia merupakan penanda aras buat semua orang.

"Dia tokoh penting. Dia sangat bermotivasi."





Ibrahimovic berada di kedudukan kelapan dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang 10 musim lalu dalam kalangan liga utama Eropah tidak termasuk 247 percubaannya ketika membarisi LA Galaxy selama dua musim, lantas Pioli sedar Milan mmapu membawa ancaman unik tatkala Ibrahimovic diturunkan musim lalu.

Mereka memenangi 66.7 peratus perlawanan ketika dia diletakkan dalam kesebelasan (12 dari 18) dan merosot 60 peratus ketika ketiadaan Ibrahimovic.

Milan akan membuka kempen musim 2021-22 menentang Sampdoria, awal pagi esok, kemudian menghadapi Cagliari hujung minggu depan dan ia mungkin satu-satunya perlawanan yang harus mengetepikan Ibrahimovic sekiranya ramalan kecergasan Pioli terbukti tepat.


"Dia cergas dan fikirannya membara," kata Pioli mengenai pemain yang akan mencecah usia 40 tahun Oktober depan itu.

"Dia pemain yang masih mampu membuat perbezaan untuk pasukan, untuk dirinya sendiri. Jadi dia sangat bermotivasi dan sudah tidak sabar-sabar lagi untuk kembali menjalani latihan penuh dengan rakan sepasukannya.

"Hal yang sama berlaku kepada saya: Saya tidak sabar untuk mendapatkan semula khidmatnya di tempat latihan."