Zinedine Zidane melihat peluang untuk mengambil alih jawatan Didier Deschamps bagi melatih Perancis mungkin perlu ditangguhkan selepas pengendali kebangsaan itu memeterai perjanjian baru hingga Piala Dunia 2026.

Perkembangan itu secara tidak langsung menimbulkan persoalan hala tuju bekas pengurus Real Madrid itu dalam masa terdekat.

Tetapi Zidane berpeluang untuk membuktikan sentuhan di peringkat antarabangsa apabila bekas perancang Brazil, Juninho Pernambucano, beranggapan bekas pemenang Ballon d'Or berusia 50 tahun itu merupakan calon paling sesuai buat skuad Selecao/

Sudah menjadi tradisi warga Brazil yang dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan mereka tetapi bekas bintang Lyon tersebut berpandangan bahawa pengecualian harus diberikan buat Zidane.

Tite mengosongkan jawatan itu sebaik Brazil terkandas dalam suku akhir Piala Dunia di Qatar, bulan lalu.

"Bola sepak merupakan sukan demokrasi. Semua orang boleh mengambil bahagian walaupun keutamaannya adalah melantik jurulatih pengendali tempatan, mereka yang tahu tentang bola sepak tempatan," kata Juninho kepada penyiar Perancis RMC.




"Tetapi jika hari ini anda tidak mampu mencapai kata putus secara sebulat suara mengenai siapakah calon paling yang sesuai di Brazil, mengapa tidak pandang ke luar?

"Tetapi anda tidak boleh membawa seseorang dari luar dengan tawaran lumayan semata-mata."

Juninho tetap mengetepikan Fernando Diniz yang kini memacu Fluminense dengan corak permainan menarik sebagai calon paling sesuai.

Tidak seperti Zidane, Diniz masih belum memenangi trofi utama sebagai jurulatih.

"Saya melihat Zidane sebagai jurulatih yang sempurna untuk Brazil," tambahnya.