Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane, menjelaskan dia tidak risau mengenai keadaan pemain sayap, Gareth Bale, walaupun bintangnya itu mengalami kecederaan ketika sesi latihan.

Bale terpaksa meninggalkan padang latihan di Soldier Field, Amerika Syarikat ketika sesi latihan semalam selepas mengalami masalah dengan buku lali.

Pemain berusia 28 tahun itu terlepas sebahagian besar aksi pada musim lepas selepas mengalami kecederaan betis dan buku lali dan situasi terkini mencetuskan persoalan sama ada dia mampu beraksi dalam pertemuan Piala Super UEFA menentang Manchester United, minggu depan.

Bagaimanapun, Zidane yakin bahawa pemain Wales itu telah menunjukkan prestasi yang baik serta melalui proses pemulihan yang sempurna.

“Dia tampak bagus buat saya, sedikit demi sedikit,” kata Zidane.

“Sebelum ini, dia mengalami kecederaan panjang tetapi pra-musim menampakkan segala-galanya baik sejak awal. Saya tidak risau mengenai prestasinya kerana seluruh pasukan berada dalam keadaan terbaik,” tambahnya.