Penyerang import Melaka United, Anselmo Arruda da Silva atau sinonim dengan jolokan Casagrande, mengelak daripada menjadi mangsa penyingkiran dalam jendela kedua perpindahan pemain bulan depan apabila muncul wira pasukannya ketika menundukkan Kedah 1-0 di Stadium Hang Jebat.

Kedudukan Casagrande dalam bahaya selepas pemain dari Brazil itu hanya mampu merekodkan satu gol sebelum aksi Liga Super menentang Kedah, malam tadi.

Sedar akan situasi itu, bekas penyerang Felcra FC itu mengerah segala kudratnya dalam usaha membantu skuad Melaka mengakhiri kemarau kemenangan.

Selepas aksi babak pertama terikat tanpa jaringan, Casagrande hampir memecah kebuntuan tetapi gagal menanduk masuk hantaran Safiq Rahim pada minit ke-46.

Dia, bagaimanapun, menebus kehampaannya itu dua minit kemudian apabila tidak lagi mensia-siakan sepakan sudut Safiq untuk meletakkan tuan rumah di depan.

Gawang pelawat nyaris bocor lagi pada minit ke-68, mujur sepakan percuma pemain gantian, Nazrin Nawi, ditepis keluar Ifwat Akmal Che Kassim.

Kedah cuba bangkit untuk mencuri satu mata, namun usaha mereka tidak kesampaian apabila kedudukan 1-0 kekal memihak Melaka sehingga wisel penamat.

"Dia ketandusan gol, dia mengalami kekecewaan dan juga berdepan tekanan yang begitu tinggi.

"Malam ini (tadi) dia menjaringkan satu gol yang amat berharga, lebih-lebih lagi ia merupakan gol kemenangan dan saya harap sentuhan (berbisanya) akan kembali," kata jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan.

Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, menyimpulkan kekalahan itu sebagai tidak bernasib baik dengan berkata: "Kami beraksi baik dalam separuh masa pertama, cuma dalam babak kedua kami melepaskan gol melalui situasi bola mati.

"Pemain sudah cuba sedaya-upaya untuk bangkit di sebalik kepenatan. Sebab itu saya menganggap mereka masih beraksi dengan baik dalam perlawanan ini," katanya.