Ketua jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan, lega apabila laporan keseluruhan pasukannya sepanjang 13 perlawanan pertama musim in diterima pihak pengurusan.

Keadaan itu turut memberikan pengesahan bahawa pengendali berkenaan akan kekal mengemudi pasukan itu sehingga penghujung musim ini.

Zainal Abidin kini boleh menghela nafas lega selepas segala kontroversi dan desas-desus mengenai pemecatannya sudah menemui penghujung.

Bagi bekas pemain kebangsaan itu, ia merupakan satu keputusan yang adil buat dirinya dengan pihak pengurusan kini sudah bersetuju dengan hasratnya untuk mendapatkan dua pemain import baru dari Brazil.

"Berikutan kegagalan pasukan Melaka, saya diminta untuk menyediakan laporan secara terperinci daripada setiap sudut dan Alhamdulillah, selepas mereka (pihak pengurusan) meneliti setiap laporan itu, saya perlu mengucapkan terima kasih kerana mereka masih memberikan kepercayaan kepada saya dengan syarat, banyak yang perlu diperbaiki," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Fina Narom.

Jurulatih yang mesra disapa Chip itu juga mengakui tekanan yang dihadapinya masih belum berakhir memandangkan Melaka United mengharapkannya mampu memacu pasukan itu keluar daripada zon penyingkiran.

Bagaimanapun, tekanan itu perlu dipandang daripada sudut positif memandangkan dia kini mempunyai lebih masa bagi membuktikan keupayaannya.

"Saya tidak menafikan bahawa tekanan sebelum ini teramat tinggi selepas satu-satu perlawanan.

"Di sinilah saya amat berbangga dengan pihak pengurusan yang memahami keadaan saya.

"Bukan sahaja memberikan saya tekanan tetapi dengan laporan mengenai masalah dalaman yang dihadapi pasukan ini, mereka memberi kepercayaan kepada saya dan memahami masalah saya," tambahnya.