Pemangku Ketua Jurulatih The Red Warriors (TRW), Yusri Che Lah, mengakui ketumpulan jentera serangan yang diketuai penyerang import, Christiano Santos dan Nik Azli Nik Alias menjadi faktor utama Kelantan sekadar seri tanpa jaringan dengan pendatang baru, MISC- MIFA dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam kelmarin.

Beliau juga sedar keputusan seri itu menyukarkan hajat Kelantan mengintai tiket ke suku akhir tatkala pencabar terdekat, Kedah mengejutkan juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) 3-1 di Alor Star.

Bagaimanapun, Yusri tetap memberi kredit kepada pemainnya yang beraksi dengan penuh disiplin menutup segala peluang skuad kendalian K Devan untuk mengancam kubu tuan rumah.

"Alhamdulillah, saya terima keputusan ini dan tentunya faktor pengalaman menjadi pemisah untuk penyerang muda (Nik Azli Nik Alias) menukarkan peluang terbaik kepada jaringan kemenangan.

"Santos juga mempunyai peluang terbaik dengan hanya perlu melakukan tampanan sempurna jntuk bola mengegar jaring lawannya, malangnya gagal dilakukan," katanya.

Bagaimanapun, Yusri memuji benteng pertahanan TRW yang diketuai kapten, Mohd Farisham Ismail yang begitu tenang menangkis serangan berbahaya MISC-MIFA.

"Begitu juga kesungguhan yang ditunjukkan pertahanan import, Cassio ( De Jesus) yang berjaya menutup segala ruang dan beri lebih keyakinan kepada penjaga gol ( Mohd Faridzuean)," katanya.

Ditanya aksi terakhir menentang finalis Piala Malaysia Kedah di gelanggang sendiri, Yusri mahu pemainnya melupakan keputusan seri ini dan memberi tumpuan penuh untuk memburu kemenangan kerana peluang masih ada.

"Saya harap pemain lebih semangat untuk menghadapi skuad Lang Merah dan biarlah aksi perlawanan terakhir itu menjadi penentu di mana kedudukan kita selepas ini," katanya.

Untuk rekod, TRW berada di tangga tercorot Kumpulan C dengan lima mata hasil daripada sekali menang dan dua kali kalah.