Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi, tetap mempertahankan harapan menggunung badan induk itu terhadap skuad B-23 tahun negara untuk layak beraksi dalam Sukan Olimpik Paris 2024 pada Julai depan.

Tegasnya, apa yang berlaku dalam sesuatu kejohanan bukan kawalan mereka, sebaliknya harapan itu dilontarkan sebagai motivasi kepada pemain untuk memberikan aksi terbaik masing-masing.

Kenyataan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, yang meletakkan harapan untuk skuad muda negara layak ke Paris, kini menjadi bahan kritikan peminat susulan permulaan hambar anak buah Juan Torres Garrido itu dalam kempen Piala Asia B-23 di Qatar semalam.

Skuad negara memulakan kempen Kumpulan D dengan kekalahan 0-2 di tangan Uzbekistan.

"Kami mencuba untuk membuat persiapan sebaik mungkin dalam membentuk pasukan terbaik untuk menghadapi sesuatu kejohanan," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Tetapi apa yang berlaku dalam kejohanan itu kadang-kadang di luar kawalan kita. Cuma daripada segi persediaan, saya fikir kami telah memberikan yang terbaik untuk jurulatih melakukan persediaan.

"Yang lainnya, dalam perlawanan akan menentukan sama ada pasukan mampu atau tidak mampu, layak atau tidak layak.

"Memang semua orang berharap kita layak ke Sukan Olimpik melalui pasukan ini tetapi pada akhirnya, kita perlu menyedari realiti bahawa kita bukan menghadapi pasukan yang lemah," katanya.