Xavi mengumumkan hasratnya untuk bersara dan ikon Barcelona itu akan kekal dalam lipatan sejarah sebagai salah seorang pemain tengah berpengaruh.

Bekas pemain Sepanyol itu, yang kini mencecah usia 39 tahun, merancang untuk beralih ke bidang kejurulatihan pada akhir musim ini selepas membawa Al Sadd menjulang Piala Emir.

Xavi -- produk akademi La Masia -- memenangi lapan gelaran LaLiga, empat trofi Liga Juara-Juara (UCL) dan tiga trofi Copa del Rey ketika era penuh bergemerlapan di kelab Catalan itu.

Antara fakta menarik membabitkannya:

767 - Xavi memegang rekod penampilan terbanyak Barcelona, ​​diikuti ketua pasukan semasa, Lionel Messi (682), disusuli Andres Iniesta (674).

9 - Hanya sembilan pemain dalam sejarah LaLiga pernah beraksi lebih daripada 500 kali dalam kancah itu. Bagaimanapun, 505 penampilan yang dilakukan Xavi masih jauh daripada catatan milik Andoni Zubizarreta yang beraksi dalam 622 perlawanan.

13 - Xavi menempa 13 kekalahan kepada seteru "El Clasico", Real Madrid, dalam 42 pertemuan yang membabitkannya. Dia mempunyai koleksi lima gol ke atas Los Blancos.

25 - Rekodnya dalam pertembungan 'derby' Catalan menentang Espanyol adalah cemerlang. Xavi, yang menghimpunkan enam gol dalam pertemuan itu, muncul sebanyak 36 kali dengan rekod 25 kemenangan.

133 - Pemenang Piala Dunia itu pernah beraksi sebanyak 133 kali untuk Sepanyol dan ia meletakkannya sebagai salah seorang daripada 13 pemain yang melepasi angka 100 buat negaranya. Hanya Sergio Ramos (162) dan Iker Casillas (167) telah membuat penampilan lebih banyak daripadanya.

1,000 - Walaupun bukan pemain tengah yang produktif, Xavi mencatat gol ke-1,000 dalam sejarah pasukan kebangsaan Sepanyol. Jaringan itu hadir ketika mereka mengalahkan Ireland Utara 3-2 dalam kelayakan Euro 2006.