Bekas pemain tengah Barcelona, Xavi, menggesa bintang Bayern Munich, Franck Ribery, untuk menyertai Al-Sadd di Qatar.

Kontrak Ribery bersama gergasi Bundesliga itu bakal berakhir pada penghujung musim dan masih lagi belum mencapai persetujuan untuk terus kekal di Allianz Arena.

Pengerusi kelab, Karl-Heinz Rummenigge, menjelaskan bahawa mereka sedang berbincang dengan Ribery dan Arjen Robben mengenai masa depan mereka.

Ribery, yang semakin hampir menuju penghujung kariernya, berkemungkinan untuk terus kekal bersama Bayern tetapi Xavi memberitahu Ribery untuk menyertainya beraksi bersama Al-Sadd.

"Kehadirannya akan menjadi sangat baik untuk semua, termasuk buat Ribery," kata Xavi.

"Benar, saingan bola sepak di sini berbeza jika dibandingkan dengan Eropah tetapi saya berminat menyaksikan Ribery beraksi di sini."