Xavi kekal yakin dengan Ansu Fati malah keliru dengan khabar angin mengenai masa depan penyerang Barcelona itu.

Fati telah membuat 20 penampilan LaLiga untuk Barca musim ini, tetapi 13 daripadanya sebagai pemain gantian berikutan Raphinha, Ousmane Dembele dan Gavi kebiasaannya akan digandingkan dengan Robert Lewandowski.

Laporan minggu ini menyebut trio Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Manchester United, Liverpool dan Arsenal meminati sentuhan Fati yang telah mencipta tiga gol liga dan menghasilkan tiga bantuan jaringan biarpun berdepan aksi terbatas musim ini.

Bercakap menjelang kunjungan ke Villarreal awal pagi esok, Xavi berkata pemain antarabangsa Sepanyol itu mampu mencipta impak besar sambil mempersoalkan mengapa khabar angin mengenai masa depannya bertiup kencang sedangkan ketika ini di luar jendela perpindahan.

“Kami menaruh harapan tinggi terhadapnya, saya mempunyai keyakinan yang sebulat-bulat terhadapnya,” kata Xavi mengenai pemain berusia 20 tahun itu.


"Saya mempunyai tanggapan ini terhadap semua orang. Kami telah membentuk sebuah skuad berdasarkan apa yang saya hajati.

"Saya mempunyai keyakinan dengan semua orang dan khususnya dengan Ansu. Dia adalah pemain untuk masa kini dan masa depan.

"Dia perlu bersabar dan memberikan segala-galanya apabila dimasukkan, sebagaimana yang dilakukan ketika ini.

"Pada masa ini tiada siapa yang boleh berpindah milik. Pasaran pemain telah tamat, saya tidak tahu apa yang kami perlu lakukan apabila bercakap tentang penjualan sedangkan kami sedang berjuang.

"Kita bercakap tentang penjualan Ansu yang beritanya langsung tidak diperkatakan sepanjang bulan lalu.

"Saya tidak dapat memahaminya malah di Barcelona sendiri.

"Saya menaruh harapan tinggi ke atasnya."