Robert Lewandowski melakukan penampilan pertama dengan amat kukuh di Barcelona sehingga pengurusnya, Xavi, menganggap penyerang itu sebagai "pembelian yang luar biasa".

Lewandowski melakukan penampilan pertama bersama kelab barunya itu ketika Barcelona menewaskan Real Madrid 1-0 dalam aksi persahabatan hujung minggu lalu, di mana dia diletakkan dalam kesebelasan utama sebelum dikeluarkan selepas separuh masa.

Naib juara Anugerah Ballon d'Or 2021 itu menamatkan tujuh musim terakhir dengan sekurang-kurangnya 40 gol setiap satu dan Barcelona kini berharap agar kemuncak karier penyerang itu masih belum berakhir walaupun akan berusia 34 tahun bulan depan.

Bercakap kepada media, Xavi memuji penyerang barunya itu, yang berjaya didatangkan daripada Bayern Munich.

"Lewandowski menyesuaikan diri dengan amat baik. Dia amat rendah diri walaupun telah memenangi hampir kesemua yang ditawarkan dalam Bola Sepak.

"Dia mempunyai kerendahan hati untuk bekerja keras bersama pasukan dan bagi kami, dia satu pembelian yang amat luar biasa.

"Dia amat bagus, saya amat-amat gembira memiliki Robert dalam pasukan ini dan ketika perlawanan (menentang Madrid), dia menyesuaikan diri dengan amat baik.

"Dia mengawal bola apabila Madrid memberikan tekanan, dia amat memahami bila saatnya untuk dia mengawal bola, bila untuk bermain bersama pemain tengah menyerang dan bila untuk bermain bersama pemain tengah bertahan.

"Dia banyak kali turun ke bawah dan kita sedang bercakap mengenai seorang pemain terbaik dalam dunia bola sepak," katanya.