Pengurus Barcelona, Xavi Hernandez, mahu bersikap positif terhadap kegagalan mereka dalam Liga Juara-Juara (UCL) musim ini sambil menegaskan pasukan itu sedang meniti di landasan yang tepat.

The Blaugrana gagal melangkah ke peringkat kalah mati UCL untuk musim kedua berturut-turut selepas hanya mengumpul empat mata daripada lima perlawanan.

Sepanjang 19 musim lalu, Barca pasti akan mara sekurang-kurangnya pusingan 16 tetapi rekod itu musnah apabila Inter menewaskan Viktoria Plzen untuk mengiringi juara Kumpulan C, Bayern Munich, yang menumpaskan Barca 3-0 di Camp Nou, minggu lalu.

Walaupun ia satu tamparan hebat memandangkan pelaburan besar mereka di sebalik berdepan isu kewangan dalam jendela perpindahan, Xavi cuba menawarkan perspektif memandangkan dia pernah bersama kelab itu dalam era buruk dan terbaik.

“Saya pernah melalui tempoh terburuk dalam sejarah kelab ini dari 2000 hingga 2003, dan yang terbaik sejak Frank Rijkaard tiba hinggalah detik saya bersara,” katanya.

"Kami perlu memiliki tekad, sekarang bukan masa untuk meragui kemampuan sendiri. Kami berada dalam situasi yang tidak dijangka iaitu tersingkir daripada UCL, tetapi kami perlu yakin dengan idea ini.



"Saya sangat positif. Saya masih menganggap kami berada di landasan yang betul. Gelaran akan dimenangi pada 2023 dan bukan sekarang.

"Undian peringkat kumpulan UCL tidak menyebelahi kami tetapi tahun ini kami telah mencatat kemajuan. Kami beraksi dengan sangat baik di Munich.

“Kami mempunyai peluang di tangan kami, tetapi ia terlepas atas sebab kesilapan dalam bola sepak, situasi buruk dan keputusan pengadil.

"Kami mempunyai peluang tetapi penyudah kami tidak cukup di Munich di sebalik corak permainan menarik yang kami tonjolkan dan kami hanya mampu seri dengan Inter tatkala kami mendominasi. Ia bergantung kepada kemampuan kami sendiri.

"Kami bernasib malang kerana diundi dalam kumpulan yang sangat kuat dan tidak mampu melaksanakan tugas itu. Inilah realitinya."