Pengendali Bayer Leverkusen, Xabi Alonso, menolak sebarang khabar angin mengaitkan dirinya untuk meninggalkan Jerman musim panas ini.

Terdapat beberapa laporan menyatakan bekas kelab Alonso, Real Madrid, dan Tottenham Hotspur berminat untuk mendapatkan khidmatnya, namun pengendali berusia 41 tahun itu kekal fokus untuk mendapatkan kejayaan bersama Die Schwarzroten.

“Saya telah berada dalam bola sepak selama bertahun-tahun, khabar angin adalah perkara biasa tetapi kami [Bayer Leverkusen] masih banyak yang perlu dicapai,” kata Alonso.

“Sebab itu tumpuan saya 100 peratus di sini sejak beberapa bulan lalu dan saya juga 100 peratus mahu kekal di sini musim depan.”

Kata-kata itu pastinya bermakna bekas ketua jurulatih pasukan Real Sociedad B itu tidak akan meninggalkan Bay Arena musim panas ini kerana dia berhasrat untuk membantu Leverkusen mencapai tahap yang lebih tinggi dan mengasah mereka menjadi pesaing kejuaraan Bundesliga.

Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada bulan Oktober, Alonso telah mengubah sepenuhnya Leverkusen. Dia membantu mereka berubah menjadi salah satu pasukan terbaik Bundesliga daripada pesaing penyingkiran dalam masa tujuh bulan.

Dalam 31 perlawanan Alonso mengendalikan Leverkusen, mereka telah menang 17 perlawanan, di mana bilangan yang cukup baik buat pasukan yang bergelut dengan penyingkiran sebelum Piala Dunia.

Mereka kini menghuni tangga keenam Bundesliga dengan 48 mata selepas 30 perlawanan, dengan 43 hadir di bawah kendalian Alonso di bawah 22 perlawanan. Mereka juga melewati sembilan perlawanan tanpa kalah, termasuk kemenangan 2-1 ke atas Bayern Munich.