WOLVES 3 LIVERPOOL 0

Prestasi buruk Liverpool berterusan apabila Craig Dawson dan Ruben Neves menemui sentuhan penyudah buat Wolves ketika membelasah The Reds 3-0 di Molineux, sebentar tadi.


Usaha The Reds untuk merekodkan kemenangan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) 2023 tidak kesampaian apabila percubaan Dawson mendorong jaringan pelik sendiri Joel Matip untuk Wolves membuat permulaan memberangsangkan dalam tempoh 12 minit.

Selain membalas dendam dalam Piala FA selepas disingkirkan Liverpool bulan lalu, Wolves memungut tiga mata penting dalam usaha mereka untuk mengelak penyingkiran, sekali gus meletakkan kelab dalam itu krisis di kedudukan ke-10 tanpa kemenangan selepas empat perlawanan liga.


Wolves hanya memerlukan lima minit untuk menggugat pertahanan Liverpool apabila gerakan Hwang Hee-chan memperdayakan Matip sebelum percubaannya mengenai pertahanan itu dan melepasi garisan gol.

Kedudukan Liverpool bertambah malang tujuh minit kemudian apabila apabila gagal mematahkan hantaran lintang Matheus Cunha, secara tidak langsung membuka ruang buat Dawson melakukan rembatan tinggi ke arah gawang dari jarak dekat.

Jose Sa turut menafikan Darwin Nunez ketika berdepan satu lawan satu, malah Liverpool bernasib baik hanya ketinggalan 0-2 dalam babak pertama selepas tindakan cemerlang Allison dalam situasi serupa ketika menyekat Matheus Nunes.

The Reds mengatur asakan lebih kemas selepas rehat yang menuntut Max Kilman mengeluarkan bola di depan pintu gol disusuli percubaan Mohamed Salah ke sudut kiri bawah gawang lawan tersasar.

Sa turut menyelamatkan satu lagi percubaan berbahaya Nunez ketika Wolves dikerah untuk bertahan sebelum anak buah Julen Lopetegui itu memadamkan sebarang sisa api perjuangan pelawat apabila umpanan Adama Traore membolehkan penyudah kemas kaki kiri Neves ketika permainan berbaki 19 minit.