Bruno Lage sah dilantik Wolves sebagai ketua jurulatih baru bagi menggantikan Nuno Esprito Santo.

Nuno, yang membimbing Wolves daripada Liga Kejuaraan sehingga menjadi muka tetap dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), meninggalkan peranannya secara persetujuan bersama pada penghujung musim 2020-21.

Selepas membimbing Wolves menamatkan saingan di tempat ketujuh buat dua musim berturut-turut, usaha yang dilakukan Nuno terbatas dengan kecederaan pemain utama seperti Raul Jimenez dan Pedro Neto pada ketika Diogo Jota dijual kepada Liverpool sehingga mereka terperosok di tangga ke-13 musim ini.

Nuno sebelum ini dilaporkan akan menyertai Crystal Palace tetapi perbincangan melibatkan jurulatih berbangsa Portugis itu -- yang turut dikaitkan dengan Everton -- dikhabarkan tidak menjadi kenyataan.

Ketika destinasi Nuno masih menjadi tanda tanya, Wolves mengambil pendekatan segera dengan melantik seorang lagi pengurus dari Portugal, Lage, yang merupakan bekas ketua jurulatih Benfica.

Lage, 45, meninggalkan Benfica pada 2020 dan dia juga pernah berkhidmat di England selaku pembantu kepada Carlos Cavalhal di Sheffield Wednesday dan Swansea City.

"Saya amat gembira. Ia peluang yang besar. Saya amat gembira kerana dapat kembali ke negara ini dan menguruskan pasukan yang besar," kata Lage.

"Ia sebuah pasukan dan kelab yang mahu mencipta sejarah dan satu peluang untuk bersaing dalam EPL.

"Jadi, saya amat gembira, teruja, dengan cita-cita yang besar untuk melakukan sesuatu yang hebat di kelab ini," katanya.