Georginio Wijnaldum mengakui terdapat beberapa faktor di mana Belanda tidak kelihatan bagus ketika menewaskan Poland dalam Liga Negara-Negara Eropah (UNL) awal pagi tadi.

Belanda bangkit daripada ketinggalan untuk mencatatkan kemenangan 2-1 di Chorzoe tetapi ia masih belum cukup untuk layak ke pusingan akhir UNL memandangkan Itali muncul pasukan terbaik Kumpulan A1 selepas menewaskan Bosnia-Herzegovina 2-0 dalam satu lagi perlawanan.

Kamil Jozwiak meletakkan Poland di depan hasil jaringan solo menarik seawal minit kelima tetapi Wijnaldum memenangi sepakan penalti yang disudahkan Memphis Depay pada minit ke-77 dan menanduk masuk gol yang terbias dalam memastikan skuad Oranje itu memenangi dua daripada enam perlawanan di bawah kendalian Ronald de Boer.

Poland pasukan yang lebih memberikan ancaman sebelum waktu rehat dan wira kemenangan Belanda, Wijnaldum, mengakui pasukannya nampak buruk dalam beberapa keadaan dan mereka perlu memperbaiki situasi itu seandainya mahu beraksi baik dalam Euro 2020.

"Saya fikir ini adalah salah satu daripada perlawanan terbaik kami. Pada awalnya, kami tidak kelihatan tajam dan mereka dapat menjaringkan gol awal tetapi selain daripada itu, ia kelihatan baik," katanya kepada NOS.

"Cuma daripada segi peralihan, ia boleh menjadi lebih baik. Adakalanya kami tidak kelihatan bagus. Amat sukar untuk berlatih mengenainya.

"Kami tidak mempunyai banyak waktu untuk berlatih perkara seperti itu bersama di antara setiap perlawanan.

"Kami perlu memulakan langkah secepat mungkin jika mahu beraksi baik dalam Kejohanan Eropah.

"Kami sudah melakukan apa yang perlu kami lakukan," katanya.

Penyerang Poland daripada Bayern Munich, Robert Lewandowski, memulakan perlawanan itu biarpun masih bergelut dengan kecederaan otot.

Dia membantu jaringan Jozwiak dan membenarkan Przemyslaw Placheta melepaskan rembatan yang terkena palang gol sebelum waktu rehat separuh masa.

De Boer kecewa kerana pemainnya tidak mengendahkan amarannya supaya mengekalkan fokus di Stadium Silesian tetapi tidak begitu terkilan dengan prestasi anak buahnya.

"Saya dapat lihat lebih banyak perkara positif daripada negatif.

"Saya sudah memberikan amaran kepada pasukan kerana selepas usaha keras yang dilakukan Robert Lewandowski sepanjang beberapa hari ini, saya berasakan Poland mahu menunjukkan sesuatu.

"Kami perlu mengekalkan ketajaman sejak saat pertama tetapi kami kelihatan tidak dapat melakukannya.

"Daripada segi bertahan, ia sepatutnya jauh lebih baik, kami akan berusaha mengenainya. Anda tidak boleh bermula seperti itu.

"Selepas ketinggalan 0-1, kami mula meningkat dengan amat baik dan mencipta satu peluang ke satu peluang.

"Kemudian kami menunjukkan apa yang kami mampu lakukan.

"Kami perlu memperbaiki segala-galanya tetapi saya meninggalkan padang ini dengan perasaan yang baik.

"Kami juga lebih layak menang. Mereka berjuang sehingga saat terakhir dan saya amat berbangga dengannya.

"Kami mempunyai keazaman dan perlu mengekalkannya," katanya.