Wayne Rooney meletakkan jawatan selaku pengurus Derby County, demikian disahkan bekas bintang Manchester United dan England itu malam tadi.

Rooney memulakan karier pengurusannya selepas dilantik Derby pada November 2020 dan bergelut untuk memacu kelab itu disebabkan terlalu banyak isu luar padang.

Derby tersingkir daripada Liga Kejuaraan pada penghujung musim lalu selepas mereka ditolak 21 mata, 12 mata kerana campur tangan pentadbiran dan sembilan mata kerana penyelewengan kewangan di bawah bekas pemilik, Mel Morris.

The Rams akan beraksi dalam saingan divisyen tiga buat kali pertama sejak musim 1985-86 tetapi mereka masih mahu mengekalkan khidmat Rooney.

Ahli perniagaan Amerika Syarikat, Chris Kirchner, menunjukkan minat untuk menjadi pemilik baru kelab itu dan dilihat sebagai pembida pilihan bagi pengambilalihan berkenaan pada April lalu tetapi dia kemudian memilih untuk menarik diri awal bulan ini.

Rooney, yang dikaitkan untuk menyertai Everton sebelum Frank Lampard dinamakan sebagai pengurus, berkata dia sebelum ini memantau perkembangan pemilikan Derby tetapi kini telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatannya.