Patrick Vieira menjangkakan satu pertemuan penuh beremosi dengan Arsenal, tetapi ia tidak akan menyekat hajat pengurus Crystal Palace tersebut untuk menundukkan bekas kelabnya itu.

Vieira menyarung jersi Arsenal selama sembilan tahun iaitu di antara 1996 hingga 2005 untuk membantu kelab asuhan Arsene Wenger itu memenangi tiga gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dan empat trofi Piala FA sebelum berhijrah ke Juventus.

Pemain berusia 45 tahun itu pernah membuat 279 penampilan untuk The Gunners dalam kempen liga dan muncul antara lima pemain yang meraih kemenangan terbanyak buat kelab berkenaan selain menjadi pengurus keempat yang akan menentang bekas kelabnya selepas David O'Leary, Tony Adams dan Remi Garde.

Dia belum pernah menghadapi kelab London itu sebagai pengurus walaupun pernah menentang mereka dua kali sebagai pemain Juve dan Manchester City, tetapi tidak menang dalam kedua-dua kesempatan berkenaan.

Vieira sedia mengubah sejarah itu dengan Palace -- yang seri 2-2 dengan Leicester City sebelum rehat antarabangsa -- akan mengunjungi Stadium Emirates, awal pagi Selasa depan.

"Tumpuan dan matlamat kami akan terarah kepada bagaimana kami dapat memperagakan prestasi yang baik," katanya yang baru berusia 20 tahun ketika menyertai Arsenal daripada Milan.

"Saya sangat menanti-nantikannya. Saya berpeluang bermain untuk kelab bola sepak ini (Arsenal) selama sembilan tahun. Saya tiba di kelab bola sepak ini ketika saya masih kecil dan saya meninggalkannya sebagai seorang lelaki matang.






"Ini adalah sebuah kelab di mana saya mempamerkan permainan terbaik saya. Jadi jelas sekali kesempatan kembali ke sana akan menjadi emosi tetapi saya sedia mengetepikannya kerana adalah penting bagi kami untuk menunjukkan prestasi yang baik dan meraih mata.

"Ini adalah mengenai kawalan diri sebagai pengurus dan juga emosi. Saya selalu berusaha melakukannya dan akan terus mencubanya lagi."

Sejarah perjalanan Palace ke Stadium Emirates baru-baru ini mencerminkan bahawa Vieira memiliki peluang baik memandangkan The Eagles belum kalah dalam tiga perlawanan terakhir.

Begitupun, Arsenal telah memenangi tujuh perlawanan terakhir liga dengan menjaringkan 15 gol dan hanya dua kali dibolosi.

Palace mengakhiri kemarau 11 perlawanan tanpa kemenangan ketika mengalahkan Tottenham 3-0 dalam aki 'derby' bulan lalu tetapi dalam lima pertemuan terakhir liga, Arsenal nyata lebih unggul dalam empat perlawanan.