Jamie Vardy menyatakan kesetiaannya bersama Leicester City apabila menandantangani kontrak baru selama empat tahun selepas diumumkan oleh pihak kelab.

Vardy muncul selaku salah seorang penggempur paling tajam dalam saingan Liga Perdana Inggeris apabila menyumbat 20 gol dalam saingan musim 2017/18.

Penyerang berusia 31 tahun itu telah menyumbat 88 gol dalam semua kejohanan buat Leicester dan 24 daripadanya membolehkan The Foxes menjulang trofi liga pada musim 2015/16.

Pemain yang pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Arsenal itu kini telah menandatangani kontrak baru, menyaksikannya bakal kekal bersama pasukan sehingga 2022.

"Semua orang tahu perasaan saya dapat mewakili kelab ini dan perasaan pastinya bagus apabila mengetahui saya bakal bergelar pemain Leicester untuk tempoh empat tahun lagi," kata Vardy.

"Laluan yang saya dan pihak kelab lalui sebelum ini ternyata sangat hebat. Memasuki musim baru, ia detik yang menggembirakan dan saya berbangga menjadi sebahagian daripadanya."

Vardy memecahkan rekod jaringan dalam 10 perlawanan berturut-turut yang dipegang oleh Ruud Van Nistelrooy dalam saingan liga ketika dia menyumbat gol ke-11 sewaktu menentang Manchester United dalam musim yang menyaksikan Leicester bergelar juara.

Dia kemudian membantu pasukannya melayakkan diri ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah dalam musim berikutnya.

Vardy merupakan sebahagian daripada skuad Piala Dunia England di Russia walaupun dia gagal menyumbat sebarang gol dalam empat penampilan.

Bekas peledak Fleetwood Town itu telah mengutip tujuh gol hasil daripada 26 penampilan untuk skuad The Three Lions.