Louis van Gaal kembali ke bidang pengurusan selepas dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Belanda.

Pengendali berusia 69 tahun itu, yang mengumumkan persaraan pada 2019, kembali buat kali ketiga bersama skuad kebangsaan menjelang aksi kelayakan Piala Dunia yang bersambung bulan depan.

Ia merupakan tugas pertama sejak meninggalkan Manchester United pada 2016, dia mengambil alih tempat Frank de Boer, yang mengambil keputusan untuk meninggalkan jawatan itu apabila Belanda tersingkir daripada pusingan 16 Euro 2020.

Van Gaal, bakal dibantu oleh Danny Blind dan Henk Fraser sementara Frans Hoek bertindak sebagai jurulatih penjaga gol, kali pertama membimbing skuad Belanda pada 2000 hingga 2002 namun meletak jawatan apabila gagal layak ke Piala Dunia.

Dia kembali pada 2012, menamatkan saingan Piala Dunia Brazil di tempat ketiga dua tahun kemudian sebelum berhijrah ke Old Trafford.

Perlawanan pertama Van Gaal bakal menyaksikan Belanda berkunjung ke Norway 1 September dalam aksi kelayakan Piala Dunia.

Menghuni tangga kedua dalam Kumpulan G dengan enam mata selepas tiga perlawanan, Belanda akan menghadapi dua perlawanan berturut-turut di laman sendiri bertemu Montenegro dan Turki.