Jurgen Klopp berkata Virgil van Dijk dan Joe Gomez akan terlibat dalam perlawanan Liverpool bertemu Bologna Khamis ini.

The Reds meningkatkan lagi persiapan mereka bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan dua perlawanan 60 minit bertemu kelab Serie A itu.

Gandingan pertahanan tengah itu menamatkan penantian jangka masa panjang untuk kembali beraksi bertemu Hertha Berlin sebelum ini, turun selama 21 minit ketika tewas 4-3.

Van Dijk tidak beraksi sejak mengalami kecederaan ligamen lutut ketika bertemu Everton pada Oktober 2020, manakala Gomez beraksi buat kali perama sejak mengalami kecederaan ketika mewakili England pada bulan berikutnya.

Klopp berpuas hati dengan kemajuan yang dicapai dua pemain tersebut dan yakin mereka dapat lebih banyak minit bertemu Bologna.

"Mudah-mudahan, ya. Begitulah rupanya pada masa ini," katanya kepada laman web rasmi kelab. "Saya ingin menjelaskannya, kami tidak memberikan sebarang tekanan terhadap mereka.

"Kam mengetahui apa yang dirasai oleh mereka -- bagaimana perasaan untuk beraksi dan terdesak untuk kembali ke padang.

"Segalanya kelihatan baik dalam sesi latihan. Berapa lama tempoh mereka akan beraksi dalam perlawanan akan datang, saya tidak tahu lagi."