Barcelona mengesahkan pengunduran pengurus, Ernesto Valverde, dan menggantikannya dengan Quique Setien.

Valverde dilihat mengendalikan sesi latihan semalam menjelang pertemuan dengan lembaga pengarah Barca.

Susulan daripada perbincangan itu, Barca mengumumkan bahawa tempoh dua setengah tahun pengurus itu di Camp Nou telah tamat dan bekas jurulatih Real Betis, Setien, akan meggantikannya dengan kontrak sehingga Jun 2022.

"FC Barcelona dan Ernesto Valverde telah mencapai persetujuan untuk menamatkan kontrak di antara kedua-dua pihak," kata satu kenyataan Barca.

"Kelab ini secara terbuka mengucapkan terima kasih kepada Ernesto Valverde di atas profesionalisme, komitmen serta dedikasinya dan dia sentiasa positif terhadap segala yang menjadikan keluarga Barca.

"Kami mendoakan tuah dan kejayaan buat masa depannya," tambah kenyataan itu.

Setien menggantikan Valverde ketika Barca masih mendahului LaLiga dan bersaing dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Pasukan itu muncul juara liga dalam kedua-dua musim yang dibimbing Valverde.

Bagaimanapun, kedudukan bekas jurulatih Athletic Bilbao itu kerap terancam, khususnya selepas Barca tewas 0-3 kepada Liverpool dalam separuh akhir UCL musim lalu.

Kekalahan 2-3 kepada Atletico Madrid dalam Piala Super Sepanyol di Arab Saudi, Khamis lalu meningkatkan tekanan itu memandangkan Barca lebih banyak menguasai permainan sebelum tewas kepada skuad kendalian Diego Simeone berkenaan.

Legenda Barca, Xavi, dikatakan sebagai calon utama untuk mengisi jawatan itu selepas pemenang Piala Dunia 2010 berkenaan dilihat mengadakan pertemuan dengan pengarah kelab itu, Eric Abidal, di Qatar, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Xavi dilaporkan menangguhkan keputusannya kerana tidak berminat untuk mengambil alih pasukan itu sehingga penghujung musim ini.

Setien akan diperkenalkan malam ini sebelum memulakan tugas pertamanya dalam perlawanan menentang Granada di Camp Nou hujung minggu ini.



Editor: Muzaffar Musa