Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, menegaskan kes positif COVID-19 dalam kalangan pemain bola sepak masih terkawal.

Sejak Liga Malaysia (Liga-M) bersambung Sabtu lalu, empat perlawanan terpaksa ditunda berikutan wujud jangkitan yaang melibatkan Kedah Darul Aman dan Sarawak United.

Malah, FAM beranggapan tidak wajar untuk melabel gelembung sukan yang diterapkan sejak awal musim lalu sebagai gagal.

Sebalik, langkah yang diamalkan oleh penganjur, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), yang mengetengahkan prosedur operasi standard (SOP) tertentu berjaya mengelak sebarang kluster baru dalam kalangan pemain dan pegawai.

"Dalam ribuan kes (COVID-19) yang berlaku di luar sana, ada juga yang tidak diketahui latar belakangnya.

"Kita tidak tahu bagaimana dia boleh dapat (dijangkiti) biarpun dalam persekitaran yang agak selamat.

"Kita tidak boleh kata mereka telah melanggar SOP walaupun ia boleh mengundangkan spekulasi pembatalan dan penangguhan (perlawanan) berterusan.

"Ini bermakna SOP ini berjaya apabila tiada penularan di atas padang," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.





Bagaimanapun, Stuart sekali lagi memberi amaran bahawa adalah menjadi tanggungjawab setiap pengurusan untuk memastikan setiap pemain bebas daripada pandemik itu dan tidak menolak SOP perlu diperketatkan.

Tiada masa untuk mereka mengambil mudah bagi setiap isu yang berlaku kerana ia mampu memberi impak besar kepada saingan Liga-M musim ini.

"Kami perlu lebih teliti dengan SOP yang sedia ada bagi memastikan kluster dalaman tidak berlaku.

"Mungkin (perlu ada) penambahan terhadap (panduan) SOP yang diberikan sebelum ini.

"Saya yakin semua pasukan Liga Malaysia amat bertanggungjawab dalam perkara ini.

"Dengan adanya kes dalam pasukan tapi tiada maklumat mengenai bagaimana ia boleh terjadi, saya rasa biarlah pasukan mengambil pendekatan tersendiri."