BELGUM 2 PERANCIS 3

Belgium telah membazirkan kerja keras selama lima tahun terakhir dalam kekalahan Liga Negara-Negara (UNL) mereka kepada Perancis, luah Roberto Martinez dalam kekecewaan.


Gol separuh masa pertama daripada Yannick Carrasco dan Romelu Lukaku seakan-akan meletakkan Belgium di landasan tepat untuk menghadapi Sepanyol dalam final awal pagi Isnin depan, tetapi Les Bleus bangkit untuk menang 3-2, awal pagi tadi.

Theo Hernandez muncul wira juara dunia itu pada minit terakhir permainan, hanya beberapa saat selepas Lukaku menyangka dia mengembalikan pendahuluan Belgium selepas gol daripada Karim Benzema dan sepakan penalti Kylian Mbappe mengimbangi kedudukan.

Namun, video bantuan pengadil (VAR) mendapatinya ofsaid sekali gus memberi kemenangan sulung buat Perancis yang pertama kali bangkit selepas ketinggalan dua atau lebih gol dalam separuh masa pertama sejak Mei 2012 -- kali terakhir mereka melakukannya ialah ketika menentang Iceland dalam perlawanan persahabatan.

Belgium akan kembali ke Turin untuk menghadapi juara Eropah, Itali, dalam play-off tempat ketiga hujung minggu ini.

Justeru, Martinez yang turut membimbing The Red Devils ke separuh akhir Piala Dunia 2018 (juga dikecewakan oleh Perancis) dan suku akhir Euro 2020, berkata pasukannya seharusnya menyalahkan diri sendiri.

"Kami amat kecewa kerana tidak dapat mempertahankan kelebihan," katanya kepada media pasca perlawanan.

"Kami tidak mempunyai kawalan yang cukup dalam separuh masa kedua. Kami membiarkan Perancis bangkit.




"Ketika anda beraksi menentang sebuah pasukan seperti Perancis, mereka boleh menghukum setiap kesilapan anda. Ia tidak patut berlaku.

"Dalam perlawanan seperti ini, kami harus menonjolkan pengalaman kami jadi segala kerja keras kami selama lima tahun ini musnah. Kekecewaan ini amat besar kerana ia mencerminkan kerja keras dan segala usaha yang dilakukan oleh kami telah terbuang begitu sahaja."

Dalam separuh masa pertama, Belgium mencatat lebih banyak percubaan (lapan berbanding empat oleh Perancis) dan menguasai permainan (55.8 peratus) selain melengkapkan 389 hantaran sementara 305 oleh pihak lawan.

Namun, pasukan bimbingan Didier Deschamps itu turun dengan semangat yang berbeza sebaik permainan bersambung dengan mengumpulkan 12 percubaan sementara Belgium hanya tiga.