ITALI 1 SEPANYOL 2

Jurulatih Itali, Roberto Mancini, gembira dengan penampilan pasukannya ketika menentang Sepanyol, awal pagi tadi, walaupun tumbang 1-2 sekali gus mengakhiri rekod kental 37 perlawanan mereka.


La Roja menempah tempat ke final Liga Negara-Negara (UNL), awal pagi Isnin depan, hasil dua jaringan Ferran Torres dalam separuh masa pertama.

Azzurri bertambah pincang apabila Leonardo Bonucci dilayangkan kad kuning kedua di antara gol pemain Manchester City itu.

Lorenzo Pellegrini berupaya merapatkan jurang itu ketika permainan berbaki tujuh minit, tetapi pasukan kendalian Luis Enrique tersebut terus mempertahankan kedudukan untuk menanti Perancis atau Belgium perlawanan akhir.

Walaupun kecewa rekod luar biasa tanpa kalah pasukannya akhirnya lebur, Mancini enggan terlalu berkeras terhadap anak buahnya.

"Dalam perlawanan seperti ini, kadang-kadang ada insiden yang mengubahnya suasananya. Babak pertama sepatutnya berakhir 1-1," katanya kepada RAI Sport.

"Jelas Sepanyol mengawal bola dengan baik, tetapi kami kecewa kalah seperti ini dan terpaksa beraksi dengan 10 pemain. Kami melakukan kesalahan yang tidak seharusnya dilakukan di tahap ini.

"Sejujurnya, saya tidak menganggap ia sepatutnya menjadi kad kedua, tetapi bukan itu masalahnya. Malah, Leo tidak seharusnya mengutip kad dalam kedua-dua insiden berkenaan.

"Dalam perlawanan seperti ini, dapat menyumbat gol dan tidak dibolosi lebih banyak lagi ketika tempang dengan 10 pemain merupakan prestasi yang baik.

"Kami memerlukan beberapa kaki segar dan ia membantu ketika kami mengharungi permainan tanpa seorang pemain. Kami berkesempatan menggunakan beberapa pemain yang lebih muda tetapi saya fikir walaupun tewas prestasi ini memberi kami kekuatan."





Buat kali kedua pintu gol Itali ditembusi lebih daripada sekali dalam sebuah perlawanan di bawah bimbingan Mancini apabila kali terakhir tumbang 1-3 kepada Perancis pada Jun 2018.

Pertahanan veteran, Giorgio Chiellini, menyuarakan sentimen pengurusnya dan yakin kekalahan itu akan menjadikan mereka lebih ampuh.

"Sayang sekali kekalahan ini terjadi di Milan, tetapi timbul kebanggaan atas keputusan yang luar biasa ini," kata tonggak Juventus itu.

"Ini adalah tahap yang perlu ada dalam proses perkembangan pasukan ini yang masih mampu melakukan yang lebih baik lagi. Kami sedar ini adalah satu perlawanan yang sukar, kami memohon kesabaran dan berfikiran lapang. Kadang-kadang anda harus akur lawan merupakan sebuah pasukan yang sangat mantap yang boleh mencetuskan masalah kepada anda.

"Sayang sekali, kami ingin meneruskan rentetan tanpa kalah ini tetapi hakikatnya ia akan membantu proses perkembangan kami. Kami hampir berjaya untuk bangkit ketika beraksi dengan 10 pemain dan ketinggalan 0-2, jadi ia membuktikan berkemampuan kami."