Pengurus Austria, Ralf Rangnick, menganggap sebagai satu keajaiban apabila dapat menyaksikan Christian Eriksen masih bernyawa dan dapat meneruskan karier bola sepaknya tanpa sebarang keraguan.

Eriksen mengalami serangan jantung sewaktu mewakili Denmark menentang Finland dalam Euro 2020 tahun lalu dan diselamatkan sewaktu di atas padang.

Bagaimanapun, pemain berusia 30 tahun itu tidak dapat meneruskan kariernya bersama Inter Milan berikutan ketetapan kesihatan di Itali melarang pemain yang memakai alat cardioverter-defibrillator untuk beraksi.

Brentford menawarkan pemain tengah itu kontrak selama enam bulan pada Januari lalu dan dia membalas kepercayaan itu dengan menghasilkan satu gol dan empat bantuan jaringan yang membantu The Bees keluar daripada zon penyingkiran.

Thomas Frank berharap dapat mengekalkan Eriksen bersama Brentford di Community Stadium walaupun terdapat minat daripada Manchester United dan bekas kelab, Tottenham Hotspur, untuk mendapatkan pemain itu.

Rangnick, sewaktu bercakap dalam sidang media menjelang perlawanan Austria menentang Denmark dalam Liga Negara-Negara Eropah (UNL) awal pagi esok, tidak percaya Eriksen dapat kembali ke padang bola sepak genap setahun selepas mengalami insiden itu pada 12 Jun tahun lalu.

"Ia sememangnya satu keajaiban. Saya masih dapat ingat betapa satu pasukannya membuat bulatan di sekelilingnya sewaktu dia diberikan rawatan," kata Rangnick kepada wartawan.

"Ia benar-benar antara hidup dan mati. Jika ada seseorang menjangkakan yang selepas beberapa bulan, selepas enam bulan, dia akan dapat bermain bola sepak semula, tiada siapa akan percaya.

"Saya bercakap dengan Kasper (Schmeichel) mengenainya sebelum perlawanan ini dan dia juga berkata bahawa dia tidak lagi risau tentangnya kerana Eriksen benar-benar menikmati waktunya dan tiada langsung masalah untuk kembali bermain.

"Dan ia merupakan sesuatu yang luar biasa apabila sesuatu seperti itu berlaku kepada anda dan anda keluar sekali lagi untuk menjalankan tugas anda tanpa sebarang keraguan. Ia benar-benar sesuatu yang luar biasa," katanya.