Didier Deschamps tidak pernah meragui kemampuan Kylian Mbappe selepas membantu Perancis menjelmakan kebangkitan luar biasa ke atas Belgium dalam perhitungan separuh akhir Liga Negara-Negara (UNL).

Mbappe menyempurnakan sepakan penalti ketika Perancis melengkapkan kemenangan menakjubkan di Turin itu, awal pagi tadi, apabila memadam defisit 0-2 untuk kemenangan 3-2 menuju ke final hasil sentuhan penyudah Theo Hernandez pada minit ke-90.

Semua tumpuan terarah kepada Mbappe memandangkan dia sedia mempertimbangkan untuk berehat daripada pentas antarabangsa berikutan kekecewaan dalam Euro 2020.

Mbappe gagal dalam penentuan penalti ketika Perancis tersingkir dalam pusingan 16 Euro 2020 di tangan Switzerland, tetapi bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu mencipta bantuan jaringan buat Karim Benzema sebelum menyamakan kedudukan dengan sepakan penalti pada minit ke-69.

Justeru, ketua jurulatih Perancis itu memuji kelibat Mbappe yang menjadi pemain termuda yang mencapai 50 perlawanan baut Les Bleus pada umur 22 tahun dan 291 hari untuk mengatasi rekod Benzema (24 tahun dan 240 hari).

"Saya tidak sangsi mengenai Kylian Mbappe," kata Deschamps kepada wartawan.

"Saya selalu berada di belakangnya, saya melihat tekadnya. Dia penuh dengan hasrat baik ketika Euro, dia terlepas sentuhan berbisanya tetapi dia menanggung kecederaan ketika itu, dia sebenarnya tidak dapat beraksi dalam perlawanan kedua dan ketiga.

"Harapan tinggi terpaksa ditanggung Kylian. Saya selalu mengatakan ini dan ia tidak semestinya baik untuknya. Saya sedar Perancis akan menjadi jauh lebih mantap dengan kehadiran Kylian. Hari ini dia berjaya melakukannya.

"Usahanya di bahagian serangan menjadi pelengkap kepada Benzema sementara Antoine Griezmann menambahnya lagi. Ini bagus untuk Perancis. Tetapi saya tidak pernah meraguinya.

"Keputusan ini sudah pasti bagus buatnya secara peribadi. Sejak tiba pada awal minggu ini, saya dapat berasakan bahawa ini adalah satu perlawanan yang penting untuknya dan segalanya semakin baik untuknya dan kami."





Rembatan kencang Hernandez itu menghadiahkan juara dunia berkenaan kemenangan sulung selepas ketinggalan dua gol atau lebih dalam separuh masa pertama sejak menentang Iceland dalam aksi persahabatan antarabangsa pada Mei 2012.

Biarpun Belgium mendahului 2-0 menuju bilik persalinan menerusi jaringan Yannick Carrasco dan Romelu Lukaku, tetapi Perancis lebih berhak untuk menempah pertemuan dengan Sepanyol awal pagi Isnin depan.

"Ini satu permainan yang kami gemari yang akhirnya memihak kami," kata Deschamps lagi.

"Sangat mengagumkan untuk bertukar emosi dalam perlawanan getir seperti itu, menentang lawan seperti ini. Kami berdepan kekecewaan pada musim panas lalu dan ia menyakitkan.

"Ini sukar. Saya meletakkan diri saya di tempat Roberto Martinez yang menuju ke garisan akhir, ia menyakitkan. Tetapi anda harus menelan hakikatnya. Ada banyak kegembiraan dan kebanggaan, saya berada di sini untuk itu.

"Saya telah melalui banyak detik yang hebat dan kami akan menikmati lebih banyak lagi atas kualiti, semangat dan mental yang kami miliki walaupun kami perlu bertindak balas terhadap keadaan itu.

"Tetapi untuk kebangkitan seperti ini, saya hanya mampu berbangga atas apa yang telah kita capai malam ini."