Erik ten Hag mengubah nadanya dan menyatakan dia gembira prestasi keseluruhan pertahanan Manchester United musim ini, walaupun mengkritik pasukannya selepas tewas 3-2 kepada Arsenal.

United ketinggalan 11 mata di belakang The Gunners dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris, susulan Eddie Nketiah menjaringkan gol kemenangan lewat di Stadium Emirates Ahad lalu.

Selepas tamat perlawanan, Ten Hag berkata kegagalan pertahanan United 'tidak boleh diterima'.

Bercakap menjelang perlawanan separuh akhir pertama Piala EFL menentang Nottingham Forest, Ten Hag menjelaskan dia bercakap mengenai mempertahankan gol secara khusus dan sebaliknya gembira dengan usaha pasukannya di bahagian pertahanan, walaupun ada pengajaran yang perlu diambil.

“Saya fikir dalam banyak perlawanan kami bertahan dengan sangat baik, kami mempunyai banyak rekod tanpa dibolosi,” kata Ten Hag.

"Menentang Man City [dalam kemenangan 2-1 United baru-baru ini di Old Trafford], kami bertahan dengan sangat baik. Saya fikir, secara umum, juga menentang Arsenal, kami bertahan dengan baik.

"Saya tidak fikir mereka mempunyai banyak percubaan yang baik, saya fikir sekali menerusi sepakan percuma. Tetapi selebihnya adalah rembatan dari jarak jauh, apabila kami mempunyai banyak pemain yang berusaha untuk mempertahankan gawang pasukan.

"Itulah yang saya maksudkan apabila saya berkata semua jaringan boleh dielakkan dan ia tidak boleh berlaku. Itulah maksud saya, apabila anda melepaskan tiga gol dalam perlawanan, amat sukar untuk memenangi perlawanan.

"Itulah yang berlaku jadi itu salah satu kesimpulan. Ia tidak boleh berlaku. Kita tetapkan kesimpulan itu... kita kena belajar dan ambil pengajaran ini."